Jumaat, 20 Januari 2012

Kisah kehidupan Rasulullah bersama A’ishah

Keperibadian

Aisyah adalah puteri Abdullah yang lebih dikenali sebagai Abu Bakar bin Usman. Manakala ibunya bernama Ummu Rumman Al-Kinaniyah. Bonda Aisyah ini adalah seorang wanita yang cerdik dan berjiwa besar. Bahkan beliau juga termasuk dalam golongan Al-Sabiqun Al-Awwalun (orang yang mula-mula memeluk Islam). Aisyah dilahirkan setahun selepas Rasulullah dilantik menjadi Rasul iaitu 12 tahun sebelum Hijrah. Beliau memiliki kulit yang cerah dan kemerah-merahan sehinggakan Rasulullah menggelarkannya dengan gelaran Humaira’ (kemerah-merahan). Beliau dibesarkan dalam keadaan orang tuanya sedang sibuk menyeru manusia ke jalan Allah bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. Di samping sebagai gadis yang cantik, lincah dan suka bergaul, Aisyah juga mewarisi sifat kedua-dua orang tuanya iaitu cerdik, pemurah, berani dan jujur. Sifat mulia ini telah sebati dalam dirinya sehingga ke akhir hayat beliau.

Rasulullah Berkahwin Dengan Aisyah

Sebulan setelah Rasulullah berkahwin dengan Saudah binti Zam’ah, Allah telah menyeru Rasul-Nya itu agar berkahwin dengan seorang gadis lincah dan masih kanak-kanak iaitu Aisyah. Kehendak ini telah Allah sampaikan melalui sebuah mimpi kepada Rasulullah. Dalam mimpi itu Rasulullah melihat Jibrail datang kepada baginda dengan membawa sehelai kain sutera yang padanya terdapat gambar Aisyah binti Abu Bakar Al-Siddiq, sambil mempertontonkan gambar tersebut kepada Rasulullah, Jibrail berkata: “Sesungguhnya wanita ini adalah isterimu di dunia dan di akhirat…” Mimpi tersebut datang berulang kali kepadanya sehinggalah baginda menyedari bahawa perkara itu adalah perintah dari Allah. Baginda sedar bahawa Allah Yang Maha Pengasih telah memilihkan untuknya seorang anak dara yang cantik dan berketurunan baik-baik. Oleh yang demikian, maka Rasulullah segera pergi ke rumah Abu Bakar untuk memberitahu kepada sahabatnya itu mengenai mimpi baginda. Sekaligus kedatangan baginda adalah untuk mengemukakan pinangan terhadap Aisyah yang ketika itu baru sahaja berusia 8 tahun. Mendengar akan berita itu Abu Bakar sangat terkejut, namun beliau berasa gembira apabila menerima pinangan Rasulullah itu, tetapi kerana Aisyah masih kecil lagi maka dengan lemah lembut Abu Bakar menjawab: “Ya Rasulullah…Aisyah masih kecil lagi, namun akan saya utuskan kepada engkau agar engkau dapat melihatnya…” Kemudian Rasulullah mohon diri dan kembali ke rumahnya, sementara Rasulullah masih duduk termenung memikirkan memikirkan pinangan Rasulullah itu. Beliau merasa sangat gembira sekali kerana mendapat kehormatan tinggi iaitu menjadi bapa mertua Rasulullah s.a.w. Abu Bakar telah menepati janjinya dengan Rasulullah iaitu mengutus puterinya Aisyah mengadap Rasulullah dengan membawa bekas yang berisi kurma dan ditutup rapi serta berpesan kepada puterinya itu: “Aisyah katakan kepada Rasulullah bahawa inilah yang telah Rasulullah sebutkan kepada ayahanda dan kalau Rasulullah merasakan patut semoga Allah merahmatinya.” Aisyah segera menuju ke rumah Rasulullah dan menyampaikan pesanan dari ayahandanya. Kemudian Rasulullah segera menjawab: “Kami telah menerimanya wahai Aisyah…” Aisyah tidak memahami maksud yang tersirat dalam kata-kata ayahandanya dan jawapan Rasulullah itu. Mendengar jawapan dari Rasulullah itu telah membuatkan Abu Bakar berasa sangat gembira sekali. Selepas bersetuju dan pinangan Rasulullah itu diterima oleh Abu Bakar, tidak lama kemudian berlangsunglah pernikahan antara Rasulullah dan Aisyah dengan maharnya 400 dirham. Perkahwinan itu berlangsung pada tahun ke 10 kenabian baginda. Aisyah pada ketika itu baru sahaja berusia 9 tahun. Bagaimanapun, Aisyah tidak tinggal bersama dengan Rasulullah tetapi masih tinggal bersama-sama ibu bapanya manakala Rasulullah pula tinggal bersama-sama dengan isterinya, Saudah.

Perasmian Perkahwinan Rasulullah Dengan Aisyah

Kehadiran keluarga Rasulullah dan keluarga Abu Bakar di Madinah membolehkan kedua-duanya menumpukan segala perhatian terhadap urusan dakwah Islam dan penyusunan masyarakat Islam di Madinah. Di antara tugas berat yang dilaksanakan oleh Rasulullah ialah mempersaudarakan orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar, di samping perlu berwaspada terhadap gangguan orang-orang Yahudi Madinah. Setelah semua tugas-tugas penting itu dapat diselesaikan oleh Rasulullah, maka Abu Bakar bertanya kepada Rasulullah perihal perkahwinannya dengan Aisyah. “Ya Rasulullah…Bilakah agaknya engkau akan bersama-sama dengan keluargamu”? Rasulullah teringat bahawa baginda telah meminang Aisyah, bahkan baginda juga telah bernikah dengannya tetapi mereka tidak tinggal serumah. Oleh yang demikian, Rasulullah telah datang ke rumah Abu Bakar untuk merasmikan perkahwinannya dengan Aisyah yang ketika itu telah berusia 13 tahun. Setelah melangsungkan acara perasmian perkahwinan itu maka Aisyah berpindah ke rumah baru iaitu sebuah rumah sederhana ynag telah dibina Rasulullah bersebelahan dengan masjid di Madinah berdekatan dengan rumah Saudah binti Zam’ah dan rumah kedua orang puteri baginda. Rumah mereka itu dibina oleh Rasulullah dengan menggunakan batang-batang pelepah dan daun kurma juga batu-bata. Katil mereka pula hanya dari kulit binatang yang sudah disamak dan dibentangkan di atas lantai.

Cinta Dan Cemburu Aisyah

Aisyah telah memulakan hidup barunya bersama Rasulullah s.a.w. Rumahtanggga mereka dipenihu sinar kebahagian, sementara itu keperibadiannya semakin matang dan Aisyah bertambah dewasa. Ketabahan dan kesabaran Rasulullah dalam mendidik dan membimbing Aisyah membawa hasil yang amat gemilang. Aisyah telah membesar dengan keperibadian yang mulia dan berjiwa gigih serta tekun mendalami hokum-hukum agama. Hal ini membuat cinta Rasulullah terhadap Aisyah semakin mencurah-curah. Rumahtangga mereka berjalan dengan aman dan damai, tiada satu perkara pun yang boleh mengeruhkan kedamaian dalam rumahtangga mereka kecuali tersemat perasaan cemburu Aisyah terhadap Khadijah r.a sungguhpun Khadijah telah tiada. Kecemburuan Aisyah terhadap Khadijah adalah kerana Rasulullah selalu menyebut-nyebut nama Khadijah. Perkara ini berlaku apabila Rasulullah berdepan dengan masalah berat dalam tugasnya sebagai Rasul. Ini adalah kerana sewaktu Khadijah masih hidup, beliau akan membantu dan memberi jalan penyelesaian kepada Rasulullah, tetapi bersama dengan Aisyah hal seperti itu belum baginda perolehi. Walaubagaimanapun, Rasulullah amat menyayangi Aisyah. Baginda merasakan apa yang dirasakan oleh isterinya itu. Namun ada ketikanya Rasulullah tidak dapat mengelak daripad menyebut nama Khadijah, umpamanya bagind berkata: “Khadijah dahulu mewasiatkan begini atau begitu…” Apabila Rasulullah berkata begitu, Aisyah akan marah dan berkata: “Khadijah…Khadijah…Seolah-olah tidak ada perempuan lain di dunia ini selain Khadijah…” katanya bersungut. Apabila terjadi hal yang sedemikian, Aisyah akan mengadu perkara itu kepada ibunya. Kemudian ibunya akan membawa Aisyah berjumpa dengan Rasulullah dan berkata: “Wahai Rasulullah…Sesungguhnya Aisyah masih muda dan engkaulah yang paling berhak dalam mengajar dan memujuknya.” Mendengar kata ibu mertuanya itu, Rasulullah menoleh kepada Aisyah dan berkata: “Bukankah kamu yang mengatakan seolah-olah tidak ada perempuan lain di dunia ini selain Khadijah?” Ujar Rasulullah. “Apakah masih diingat perempuan yang sudah tiada itu, sedangkan Allah telah menggantikan dengan yang lebih baik…?” Jawab Aisyah. Apabila Aisyah berkata demikian, maka secara terus terang dan jelas Rasulullah berkata: “Demi Allah…Wahai Aisyah…Belum ada ganti yang lebih baik dari Khadijah. Dia telah beriman kepadaku ketika orang lain mengingkariku. Dia juga telah menyara hidupku di saat orang lain memulaukanku. Dia telah memberikanku zuriat yang tidak ku perolehi dari wanita lain.” Ujar Rasulullah. Apabila Rasulullah berkata demikian, Aisyah diam dan tidak berkata walau sepatahpun. Dia sedar bahawa pengorbanannya terhadap Rasulullah dan Islam tidak setanding perngorbanan Khadijah. Selain daripada cemburu terhadap Khadijah, Aisyah juga cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah yang duduk berhampiran dengannya. Rasa cemburu ini timbul kerana Rasulullah gemar kepad makanan yang bersih dan diatur rapi dan keadaan ini adalah menjadi amalan para isteri Rasulullah yang lain. Pada suatu ketika, Rasulullah pernah dihidangkan madu oleh isterinya yang bernama Zainab binti Jahsyi, salah seorang isteri Rasulullah yang paling cantik wajahnya dan Rasulullah memang gemar akan hidangan itu. Oleh yang demikian, Aisyah merasa cemburu apabila dilihatnya Rasulullah amat menyenangi hidangan Zainab itu. Bagi melepaskan sakit hatinya, Aisyah telah berpakat dengan Hafsah binti Umar bagi memperkecilkan hidangan Zainab itu. Hal ini diakui sendiri oleh Aisyah dalam ungkapannya: “Saya bersubahat dengan Hafsah iaitu apabila sahabat Rasulullah mendatangi salah seorang dari kami, maka kami akan mangatakan kepadanya: “Apakah engkau makan maghafir (sejenis makanan yang melekat dan manis tetapi baunya tidak enak), sedangkan Rasulullah benci akan bau itu.” Apabila Rasulullah pulang ke rumah Aisyah, Aisyah langsung berkata: “ Bau engkau seperti bau maghafir, apakah engkau telah makan maghafir ya Rasulullah…?” Ujar Aisyah. “Tidak…Saya diberi makan madu oleh Zainab…” Jawab Rasulullah. Kemudian Rasulullah pergi pula ke rumah Hafsah, sebaik sahaja sampai di situ Hafsah langsung bertanya soalan yang sama dan baginda juga menjawab dengan jawapan yang sama. Rasulullah geram dengan tindakan isterinya itu. Ekoran itu baginda tidak lagi memakan madu yang dihidangkan oleh Zainab. Selanjutnya Aisyah pernah bercerita bagaimana cemburunya terhadap isteri Rasulullah yang bernama Ummu Salamah. Melihat perhubungan kedua-dua suami isteri yang mesra dan harmoni itu, Aisyah tidak dapat menahan hatinya. Pada suatu hari Rasulullah telah datang ke bilik Aisyah lalu beliau bertanya kepada baginda: “Ke manakah engkau sepanjang hari ini, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Humaira’, bukankah hari ini adalah giliran Ummu Salamah?” Aisyah bertanya lagi: “Apakah yang engkau perbuat di sana?” Rasulullah tersenyum. Aisyah berkata lagi: “Sekiranya engkau diminta memilih antara bunga yang belum lagi disentuh dan bunga yang sudah disentuh, manakah bunga yang engkau akan pilih?” Rasulullah menjawab: “Yang belum disentuh.” Aisyah berkata lagi: “Saya berbeza dari semua isteri kamu, mereka semua telah pernah bersuami tetapi saya tidak.” Rasulullah hanya tersenyum mendengar ungkapan Aisyah itu. Oleh yang demikian dapat dikatakan bahawa kehidupan rumahtangga Rasulullah s.a.w dengan Aisyah r.a dipenuhi dengan suasana bahagia dan tenteram. Di samping sebagai isteri yang setia dan cinta kepada suaminya.

Fitnah Punca Derita

Sememangnya telah menjadi sunnah Allah bahawa setiap hamba-Nya akan menerima ujian dari-Nya. Hal ini juga turut diterima oleh Aisyah. Ini adalah ujian paling berat yang pernah dihadapi oleh Aisyah selepas enam tahun beliau menjadi isteri Rasulullah s.a.w. Beliau telah difitnah berkhalwat dengan salah seorang pejuang Islam yang bernama Syafwan bin Mu’tal, berita ini telah disebar luas oleh Abdullah bin Ubaiy seorang Munafiq keturunan Yahudi. Peristiwa ini berlaku apabila Aisyah tertinggal sewaktu Rasulullah dan pengikutnya hendak menuju ke medan perang. Semua tentera Islam telah berangkat tanpa menyedari bahawa Aisyah telah tertinggal. Namun di belakang pasukan yang telah berjalan itu, ada salah seorang pejuang Islam yang bernama Syafwan bin Mu’tal Al-Sulami yang diarahkan berjalan di belakang untuk memastikan tiada musuh yang menyerang dari belakang. Syafwan dan sahabatnya Al-Zakwani telah melihat Aisyah dan membawa Aisyah bersama-sama mereka sehinggalah mereka bertemu dengan pasukan induk. Berpunca dari peristiwa itulah berkembangnya desas-desus, berita karut dan fitnah yang ditunjukkan kepada Aisyah dan Syafwan yang kononnya mereka telah berkhalwat. Ketika tiba di Madinah, Aisyah telah menderita sakit selama lebih kurang sebulan. Sepanjang itu, beliau juga dapat merasakan bahawa keramahan dan kelembutan Rasulullah terhadapnya tidak seperti sebelumnya. Setelah penyakit beliau berkurangan, Ummu Mistah binti Ruhmin telah menceritakan segala yang telah dituduhkan oleh Ahlu’l-Ifki (orang-orangn yang telah menyebarkan fitnah). Semenjak mendengar berita itu, penyakit Aisyah telah bertambah teruk sehinggakan beliau meminta izin dari Rasulullah untuk pergi ke rumah ibunya. Namun Rasulullah tidak menerima fitnah itu tanpa menyelidikinya. Baginda terlebih dahulu telah menyelidiki dan meminta pendapat para sahabat. Para sahabat tidak percaya dengan fitnah yang dilemparkan kepada Aisyah kerana mereka percaya bahawa Aisyah dari keturunan yang baik-baik dan pastinya tidak akan melakukan perkara yang merosakkan nama baiknya sendiri. Selepas mendengar pendapat dari semua sahabat, Rasulullah sentiasa menanti turunnya wahyu dengan harapan semuanya itu akan dijelaskan oleh Allah kepadanya. Dalam menanti harapan itu, Rasulullah telah berkunjung ke rumah Aisyah yang pada waktu itu sedang tinggal bersama-sama orang tuanya. Ketika itu Rasulullah telah bersabda: “Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku berita buruk itu. Maka jika engkau memang bersih, Allah pasti membersihkan engkau. Tetapi jika engkau telah berdosa, mohon ampunlah kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya. Kerana apabila seseorang itu telah mengakui dosanya dan bertaubat pasti Allah akan menerima taubatnya.” Ucapan Rasulullah itu umpama petir yang menyambar di hati Aisyah. Bagaimanapun, Aisyah tidak mampu untuk menjawab ucapan Rasulullah itu. Beliau meminta ayahnya sendiri untuk menjawab ucapan suaminya itu, malangnya ayahnya sendiri tidak dapat memberi jawapan kepada Rasulullah. Kemudian Aisyah meminta ibunya pula untuk menjawab, namun ibunya juga tidak dapat berkata-kata. Aisyah amat kecewa dengan tindakan kedua-dua orang tuanya itu, air matanya membasahi pipinya dan dalam keadaan teresak-esak itu beliau telah berpaling mengadap Rasulullah dan dengan berani beliau berkata: “Demi Allah! Saya tidak akan bertaubat tentang apa yang engkau katakan itu, wahai Rasulullah…! Demi Allah, sekiranya aku mengakui apa yang telah diperkatakan orang kepadaku, namun Allah tahu aku suci. Tapi kalau aku menafikannya, kamu semua tidak akan percaya…! Namun aku hanya akan mengatakan sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Yaaqub a.s iaitu saya akan bersabar kerana kesabaran itu Adalah sesuatu yang baikdan Allah jualah tempat memohon bantuan dan pertolongan untuk mengatasi sesuatu yang dikatakan kepadaku.” Ujar Aisyah. Selepas mendengar kata-kata Aisyah itu Rasulullah, Abu Bakar dan orang lain yang sedia ada belum berangkat dari kedudukan mereka. Ketika itu jugalah Allah telah menurunkan wahyu kepada Rasulullah s.a.w. Selepas itu Rasulullah telah membuka matanya sambil tersenyum baginda berkata: “Bergembiralah wahai Aisyah. Allah telah menurunkan wahyunya dan membersihkan engkau dari tuduhan tersebut.” Mendengar ungkapan Rasulullah itu, Ummu Rumman meminta Aisyah berdiri dan menghampiri suaminya itu. Tetapi Aisyah telah menolak dan berkata: “Demi Allah…! Saya tidak mahu berdiri kepadanya dan tidak akan memuji selain daripada Allah yang telah menurunkan pernyataan bagi membersihkan diriku.” Ujarnya. Sebentar kemudian Rasulullah membacakan firman Allah yang maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong (Al-Ifk) itu adalah dari golongan kamu juga, janganlah kamu menyangka berita bohong itu buruk bagi kamu, tetapi ia adalah baik untuk kamu. Setiap mereka akan mendapat balasan dari dosa yang mereka lakukan. Sesiapa diantara mereka yang mengambil terbesar dalam menyebarkan berita bohong itu akan dapat baginya azab yang pedih. Mengapa ketika mereka mendengar berita bohong itu, orang-orang mukmin lelaki dan perempuan tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri dan tidak berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu. Maka oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi, mereka itulah pada sisi Allah adalah orang-orang pembohong. Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu di dunia dan di akhirat, nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar kerana kamu telah bersubahat atas berita bohong itu. Ketika kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu menganggapnya sebagai suatu perkara yang ringan saja, padahal ia adalah perkara yang besar di sisi Allah. Dan kenapa kamu tidak berkata ketika mendengar berita bohong itu, sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini. Maha Suci Allah ini adalah dusta yang besar. Allah memperingatkan kamu agar jangan kembali melakukan hal seperti itu selama-lamanyajika kalian benar-benar orang yang beriman. Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar berita bohong itu tersiar di kalangan orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui. Dan sekiranya bukanlah Allah Maha Penyatun dan Maha Penyayang nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar.” (An-Nur: 11-20) Setelah membacakan ayat tersebut, Rasulullah pergi pula ke masjid dan membacakannya kepada orang ramai. Rasulullah bertindak tegas kepada sesiapa sahaja yang menyebarkan berita tersebut, tindakan itu berdasarkan hukum yang ditetapkan dalam Islam, sebagaimana yang termaktub dalam surah An-Nur ayat empat yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebatan dan jangan kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya dan mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (An-Nur: 4) Kini peribadi Aisyah telah dibersihkan oleh Allah, dirinya telah terlepas dari tuduhan berkhalwat dan dia kembali ke rumah Rasulullah. Berakhirlah sudah peristiwa yang memalukan dan menyedihkan bagi keluarga Rasulullah yang mulia. Kehidupan Rasulullah kembali seperti sediakala, Aisyah telah kembali bergiat membantu Rasulullah dalam berbagai tugas dalam menyampaikan risalah Ilahi kepada seluruh umat.

Di Sebalik Kasih Sayang Rasulullah

Seluruh kaum muslim telah mengetahui betapa Rasulullah sangat mencintai Aisyah. Oleh yang demikian, apabila ada orang yang hendak memberi hadiah kepada Rasulullah, maka akan ditunggunya hingga tiba giliran Aisyah. Ummu Salamah dan para isterinya yang lain menyedari akan kepincangan itu. Mereka telah meminta Ummu Salamah agar merundingkan perkara ini kepada Rasulullah, salah seorang daripada mereka berkata: “Wahai Ummu Salamah…Demi Allah…Orang ramai amat memberikan perhatian apabila tiba giliran Aisyah saja. Agaknya eloklah engkau menyampaikan cadangan kepada Rasulullah bagi memberitahu kepada orang ramai agar apabila hendak memberi hadiah janganlah mengira sama ada Rasulullah berada di rumah siapa.” Pinta mereka. Ummu Salamah bersetuju dengan cadangan itu, maka apabila Rasulullah berada di rumahnya, usul itu disampaikan kepada Rasulullah tetapi malangnya Rasulullah hanya diam saja. Namun Ummu Salamah tidak berputus asa, pada giliran yang berikutnya cadangan itu dikemukakannya semula kepada Rasulullah, namun Rasulullah masih belum memberikan persetujuan kepada cadangan tersebut. Tetapi Ummu Salamah tetap tidak berputus asa sehinggalah Rasulullah memberi tanggapannya, baginda bersabda: “Janganlah kalian menyakiti hatiku kerana Aisyah. Demi Allah! Tidak pernah aku menerima wahyu ketika aku berada di dalam selimut seorang wanita, kecuali ketika aku bersama Aisyah…” Ummu Salamah terkejut mendengar jawapan Rasulullah itu, kerana dia tidak menyangka yang Rasulullah akan memberi jawapan sebegitu dengan tegas dan menyatakan kedudukan Aisyah sekali di sisi baginda. Maka dengan sedikit menyesal Ummu Salamah berkata: “Aku bertaubat kepada Allah….Aku tidak akan menyakiti hatimu lagi, Ya Rasulullah….” Jawapan Rasulullah itu telah Ummu Salamah sampaikan kepada para isteri Rasulullah yang lain. Setelah melalui perbincangan singkat, mereka memutuskan untuk meminta bantuan Fatimah, puteri yang amat dikasihi oleh Rasulullah untuk meminta keadilan dari Rasulullah. Fatimah telah bersetuju untuk membantu para ibu tirinya itu. Kemudian Fatimah pergi menjumpai Rasulullah yang ketika itu berada di rumah Aisyah. Fatimah berkata: “Ya Rasulullah! Saya diutus oleh para isterimu untuk memohon keadilan.” Ujar Fatimah. Rasulullah pula bertanya: “Wahai anakku, apakah engkau mencintai apa yang aku cintai?” Mendengar akan pertanyaan itu dengan pantas Fatimah mengangguk. Rasulullah berkata lagi: “Kalau begitu cintailah Aisyah.” Setelah mendapat jawapan dari Rasulullah, Fatimah segera memohon diri dan kembali ke rumahnya. Selepas itu dia melaporkan hasil pertemuannya dengan Rasulullah kepada para ibu tirinya. Namun mereka tidak berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan oleh Fatimah itu dan memohon agar Fatimah berbincang sekali lagi dengan Rasulullah. Tetapi Fatimah menegaskan bahawa dia tidak akan sekali-kali membincangkan perkara tersebut kepada Rasulullah lagi. Demikianlah kedudukan Aisyah di antara para isteri Rasulullah yang lain. Hal ini adalah kerana beberapa sebab, antara lain ialah kerana Aisyah adalah satu-satunya isteri Rasulullah yang dikahwininya sewaktu masih gadis dan Aisyah jugalah satu-satunya isteri Rasulullah yang dikahwininya berdasarkan wahyu dari Allah s.w.t. Sedangkan isteri baginda yang lain dikahwininya dalam keadaan janda dan atas dasar perikemanusiaan. Ini kerana pada masa itu wanita yang kematian suami atau diceraikan suami akan dipandang rendah oleh masyarakat Arab. Ini bermakna keputusan Rasulullah untuk mengahwini mereka adalah kerana mahu mengangkat martabat kaum wanita pada masa itu bahkan sehingga ke hari ini.



Aisyah r.a Wafat

Setelah Rasulullah s.a.w wafat, Aisyah telah menjalani masa tuanya dengan kegiatan-kegiatan dakwah dan kemajuan Islam. Bahkan beliau dipandang sebagai guru dan tempat bertanya oleh para sahabat dan umat Islam ketika itu. Namun demikian, Allah Yang Maha Berkuasa telah menyatakan kehendak-Nya untuk memanggil hamba-Nya itu kembali ke sisi-Nya. Pada bulan Ramadhan tahun 58 Hijrah, Aisyah telah jatuh sakit tetapi beliau tetap berpuasa. Berita duka ini telah tersebar dengan cepatnya di kalangan umat Islam sehingga berduyun-duyun mereka pergi ke rumah Aisyah untuk menziarahi beliau. Salah satu pesan Aisyah sebelum beliau kembali memenuhi panggilan Ilahi ialah agar beliau dikebumikan pada waktu malam di Padang Baqi’. Namun beliau tidak pula meminta untuk dikebumikan di samping makam Rasulullah, Abu Bakar atau Umar iaitu di rumah beliau sendiri. Akhirnya pada hari Isnin malam Selasa 17 Ramadhan tahun Hijrah, beliau telah pergi mengadap Ilahi dengan tenangnya ketika beliau berusia 65 tahun. Seperti wasiat beliau, maka pada malam itu juga jenazah beliau dikebumikan di Padang Baqi’ setelah umat Islam selesai menunaikan solat witir. Jenazah Aisyah telah disolatkan oleh ramai kaum muslimin yang terdiri daripada kaum Ansar dan Kaum Muhajirin. Abu Hurairah telah bertindak sebagai imam. Beliau adalah salah seorang daripada sahabat Rasulullah yang amat setia dan banyak menerima hadis dari Rasulullah s.a.w. Antara yang turut hadir sama di perkuburan itu ialah Abdullah bin Zubair, Urwah bin Zubair, Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar, Abdullah bin Muhammad bin Abu Bakar dan Abdullah bin Abdul Rahman bin Abu Bakar. Kesemua mereka ini adalah tergolong dalam keluarga Aisyah r.a.