Jumaat, 6 Januari 2012
Dr. Robert M. Schoch, Piramid & Misteri Asal Pembinanya
1- Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pertama sekali saya memohon maaf kerana rencana ini sedikit pendek namun saya rasa ianya adalah suatu yang sangat menarik untuk dikongsi bersama. Jika anda merupakan pembaca setia Mistisfiles, tentu masih segar didalam minda tentang satu misteri yang cuba dirungkai oleh penulisnya didalam salah satu rencananya yang terakhir sebelum blog tersebut ditutup buat sementara. Misteri tersebut adalah berkenaan dengan piramid dan susur galur para pembinanya.
2- Walaupun gaya penyampaian rencana tersebut agak sedikit kenovelan ala ala pengembaraan Dr.Robert Langdon didalam siri-siri novel karya Dan Brown pada pendapat saya, namun tidak boleh tidak, rencana tersebut juga sedikit sebanyak membuka mata saya dan membuatkan saya tertanya-tanya, apakah benar asal usul idea disebalik pembinaan piramid-piramid yang kita boleh lihat masih kukuh dan utuh di negara-negara seperti Mesir, Mexico, ataupun Peru pada hari ini berasal daripada Nusantara? Apakah benar teknologi piramid berasal daripada Nusantara? Sejauh mana teori-teori ini boleh dibuktikan?
3- Saya bukanlah seseorang yang terus mempercayai apa yang saya baca tanpa usul periksa. Saya perlu mendapatkan kesahihan. Malah profesyen saya hari ini juga telah melatih saya untuk menganalisa sesuatu pernyataan yang dikeluarkan sebagai fakta sehingga ianya benar-benar suatu fakta yang sahih. Saya juga berharap agar para pembaca SusorGalor juga sedemikian. Tidak terlalu menerima sesuatu secara membuta tuli tanpa membuat sebarang ulangkaji dengan lebih lanjut.
4- Misi saya didalam membongkar misteri Piramid dan kaitannya dengan Nusantara kali ini bukanlah untuk membuktikan kebenaranya. Tetapi sekadar untuk mengesahkan kewujudan teori dan hipothesisnya. Dan benar, walaupun ianya bukan satu hipothesis yang popular dan arus perdana (mainstream), tetapi ternyata hipothesis Piramid mempunyai kaitan dengan Nusantara sememangnya wujud dan ianya telah direkodkan didalam bentuk sebuah buku yang bertajuk Voyages of the Pyramid Builders - The True Origins of the Pyramids from Lost Egypt to Ancient America oleh Dr. Robert M. Schoch.
5- Terlebih dahulu, siapakah Dr. Robert M. Schoch? Dr. Schoch merupakan seorang Associate Professor di dalam bidang Sains Semulajadi (Natural Science) di Universiti Boston. Dikenali sebagai salah seorang yang pakar didalam bidang kajian Piramid, beliau terkenal dengan teori bahawa usia Piramid Sphinx di Giza, Mesir adalah sebenarnya jauh lebih tua daripada yang diketahui oleh arus perdana dan mempercayai bahawa pembinaanya dimulakan oleh satu tamadun yang jauh lebih lama daripada Mesir Purba (didalam bukunya yang bertajuk Voices of the Rocks).
6- Beliau juga telah mengkaji tentang monumen Yonaguni (struktur berupa piramid yang terletak didalam perairan Jepun) dan berpendapat bahawa monumen tersebut bukanlah buatan manusia tetapi diubahsuai oleh manusia untuk kepentingan mereka.
7- Didalam bukunya Voyages of the Pyramid Builders, Dr. Schoch mengkaji fungsi piramid dan meneliti persoalan yang telah sekian lama memeningkan kepala dan pemikiran sarjana-sarjana kajian sejarah dan budaya; adakah piramid-piramid yang ditemui diseluruh dunia ini mempunyai kaitan diantara satu sama lain? Sekiranya ada, apakah kaitan tersebut? Apakah kaitan-kaitan ini pada akhirnya akan melorong kepada satu sumber?
8- Dr. Schoch berpendapat bahawa pembina-pembina piramid yang bertebaran ke seluruh dunia dan membawa bersama mereka teknologi dan idealism disebalik pembinaan piramid ini berasal daripada sebuah benua yang tenggelam. Hipothesis ini mungkin sedikit bermain dengan teori Atlantis namun, Schoch lebih realistik dengan mengaitkan benua yang dimaksudkan tersebut sebagai merujuk kepada Sundaland ataupun Pentas Sunda.
9- Pentas Sunda adalah Nusantara pada hari ini, merangkumi semenanjung Malaysia, kepulauan Indonesia, Kepulauan Filipina, Borneo dan sebahagian besar Australia yang mana kesemuanya tercantum sebelum berakhirnya Zaman Ais (Ice Age) yang telah menyebabkan paras air laut meningkat dan menenggelamnya sebahagian besar daripada Pentas Sunda. Para pengkaji berpendapat bahawa Pentas Sunda telahpun didiami manusia dalam rangka usia 50,000 tahun dan bahasa Austronesia dipercayai berasal daripada pentas ini.
10- Schoch berpendapat bahawa Sundaland bukan sahaja bertanggung jawab menyebarkan teknologi pembinaan Piramid serta idealisme disebalik pembinaanya malah turut bertanggungjawab terhadap punca asal bermulanya mitos bencana besar dunia (catastrophe) seperti banjir besar, ikon-ikon popular seperti Tree of Life beserta burung and naga termasuk ciri-ciri utama didalam ehwal pertanian, industri besi, sistem beraja dan hirarki/kasta sosial.
11- Menurut Schoch, ini bukan bermaksud para pembina-pembina piramid ini terdiri daripada orang-orang Sundaland yang terpaksa berhijrah keseluruh dunia. Piramid-piramid ini masih lagi dibina oleh warga kerja tempatan tetapi menerusi idea, inspirasi dan persepsi daripada pengaruh-pengaruh yang dibawa oleh para imigran (baca: Orang-Orang Sunda) ini. Schoch dipetik sebagai berkata:
So who built the pyramids of the New World? The cultural evidence shows that it was the New World peoples working with ideas and techniques they adapted from Old World immgrants. Small number of old World outsiders made landfalls in the New World, blende with the locals and contributed their skills, energies and ideas to the mix that created the civilizations of the Americas.
12- Menarik bukan?
Terjemahan Penulis: Benign Nor Hafeez
Sumber
Apa ada pada Melayu
Kebinasaan Melayu
Adam sebelum Adam