Memaparkan catatan dengan label Kisah Nabi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Nabi. Papar semua catatan

Selasa, 4 Jun 2013

Ikan Sebelah, Asalnya Lauk Nabi Sulaiman


Ikan Sebelah Laut atau juga dikenali sebagai ikan sisa Nabi, nama saintifiknya Pseudorhombus spp. / Achiroides spp. adalah tergolong dalam ikan air masin dan tawar yang terdapat di negara-negara ASEAN termasuk di MALAYSIA


Ikan sebelah atau ikan sisa nabi ini menurut sejarah telah dimakan oleh Nabi Sulaiman a.s. tetapi oleh kerana baginda tidak sempat menghabiskannya, baginda telah melepaskan sebelah lagi ke dalam laut dan dengan kehendak Allah ikan itu hidup semula dan berenang kembali ke lautan dengan keadaan ikan tersebut yang hanya tinggal sebelah dengan satu mata sahaja dan bukti kewujudannya kekal sehingga kehari ini untuk menjadi iktibar bagi mereka yang masih ragu-ragu dengan kebenaran Islam...
..Wallahualam..


Selasa, 30 Oktober 2012

Rasulullah adalah manusia, tetapi bukan seperti manusia biasa

Sumber dipetik dari Ustaz Zaman-berita harian

MUHAMMAD SAW adalah seorang insan terpilih daripada kalangan Bani Hashim untuk menyampaikan risalah rabbaniah kepada umat manusia. Dilahirkan daripada sulbi Abdullah dan Aminah di kota suci Makkah ketika perhambaan kepada manusia semakin memuncak.

Tiada nas sahih dan nyata bagi ulama dan hadis bahawa Baginda SAW adalah makhluk yang mula-mula dicipta di muka bumi ini. Ada pendapat yang menyatakan ciptaan terawal adalah qalam. Ada yang menyatakan ciptaan terawal adalah akal.

Namun, daripada riwayat kelahiran Baginda SAW menyebut bahawa Allah SWT menciptakan secebis daripada nur-Nya dan berkata: ‘Jadikanlah kamu sebagai Muhammad’, dan itulah ciptaan terawal yang mana kerana Baginda, Allah mencipta langit dan bumi sehingga ada yang berselawat ‘Selawat dan salam buatmu (Muhammad SAW) wahai orang yang mula-mula diciptakan’.

Bagaimanapun dalil di atas tidak dapat dijadikan hujah kuat menurut ahli hadis di atas perkara demikian kerana pujian daripada Allah SWT untuk Baginda SAW di dalam al-Quran adalah ciri-ciri kelebihan yang ada padanya melalui firman-Nya: “Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) mempunyai pekerti tinggi dan mulia.” (Surah Al-Qalam ayat 4).

Apa yang jelas di sini, Baginda adalah manusia biasa yang dipilih untuk menyampaikan risalah Tuhan-Nya. Banyak bukti menerusi firman Allah SWT yang mengangkat martabat Nabi Muhammad SAW antaranya, “Katakanlah (wahai Muhammad)
bahawa aku adalah manusia seperti kamu yang menerima wahyu.” (Surah al-Kahfi ayat 110). “Katakanlah maha suci Tuhan bahawa aku adalah manusia biasa.” (Surah al-Isra’ ayat 93).

Baginda juga menghadapi kematian dan soalan Malaikat. Firman Allah SWT: “Dan ingatlah tatkala Allah SWT mengumpulkan semua rasul, lalu ditanyakan mengenai jawapan kaum mereka terhadap seruan Allah SWT. Rasul menjawab sesungguhnya Engkaulah Allah yang maha mengetahui.” (Surah al-Maidah ayat 109).

“Sesungguhnya engkau (Muhammad) akan mati seperti mereka juga).” (Surah az-Zumar ayat 30).

Ia menunjukkan bahawa Baginda SAW adalah ciptaan yang sama seperti manusia lain dari pandangan lahiriah dan mata kasar (maddah). Tetapi pada pandangan kenabian dan risalah, Baginda adalah cahaya penyuluh kepada hakikat dan kebenaran.

Firman Allah SWT: “Dan kamu (Muhammad) sebagai penyeru kepada agama Allah dengan izinnya dan sebagai cahaya yang menerangi.” (Surah al-Ahzab ayat 46).

Allah turut menyeru ahli kitab dengan sabdanya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu sekalian cahaya (Muhammad) dan kitab yang memberi penjelasan.” (Surah al-Maidah ayat 15).

Baginda juga digambarkan sebagai cahaya dan banyak riwayat menyebut mengenai cahaya yang terpancar pada wajah Baginda SAW ketika berhadapan dengan sahabat RA. Baginda pernah berdoa: ‘Ya Allah, jadikanlah lubuk hatiku, pandanganku, pendengaranku, tulang dan dagingku, rambut serta di kiri dan kananku sebagai cahaya bersinar’. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas).

Alangkah baiknya doa ini diamalkan umat Islam bagi menggantikan amalan syirik yang dilakukan sesetengah pihak hanya semata-mata untuk memperlihatkan wajah yang cantik berseri.

Tidak kurang pula yang membelanjakan ribuan ringgit setiap bulan untuk tujuan itu. Mereka perlu disedarkan bahawa amalan syirik adalah satu dosa besar.

Pembaziran masa dan wang ringgit adalah satu sifat buruk yang dilarang agama.

Dari kesan fizikal yang ada pada Baginda SAW amatlah berbeza dari manusia biasa yang mana sahabat pernah mengambil keberkatan dari wuduk Baginda SAW serta menjadikan peluh Baginda sebagai wangi-wangian.

Najis yang ditinggalkan oleh Baginda ditelan bumi sehingga tidak dapat dikesan oleh sahabat. Rambut yang dicukur Baginda SAW juga disimpan oleh sahabat untuk mendapat keberkatan serta penawar untuk menyembuhkan penyakit.

Sempena menyambut Maulidur Rasul pada tahun ini, marilah sama-sama kita hayati kehidupan Baginda SAW serta mencontohi dan mengamalkan segala apa yang ditinggalkan Baginda SAW.

Marilah kita mengambil jalan selamat supaya masyarakat tidak keliru dengan kenyataan yang dibuat mengenai diri Baginda SAW. Ulama yang berbeza pendapat boleh bertemu dan bermusyawarah sebelum apa-apa keputusan dibuat demi kesatuan masyarakat seluruhnya.

Firman Allah berksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku.”

Benarlah ungkapan Arab menyebut “Wahai Muhammad, kamu adalah manusia tetapi kamu bukan seperti manusia”.

Rabu, 5 September 2012

Kisah Imam Mahdi, Dajjal & Nabi Isa..

Gerhana bulan dijangka akan berlaku di awal Ramadhan. Dan pada pertengahan Ramadhan akan berlaku pula gerhana matahari. Pada malam Jumaat pertengahan Ramadhan akan kedengaranlah suara dahsyat yang menakutkan. Jadi, ada dua peristiwa. Satu siang iaitu gerhana matahari dan satu malam iaitu suara yang manusia tidak pernah mendengar sebelum ini.

Pada bulan Syawal berikutnya bersamaan awal November 2005, akan mula berlaku Ma’ma’ah ( huru hara) yang berupa kecamuk peperangan antara negara-negara. Pada bulan Zulkaedah bersamaan bulan Disember 2005 akan terjadi perselisihan antarabangsa. Pada tahun 2006, musim haji akan dilakukan 2 kali. Bulan Zulhijjah pertama bersamaan dengan bulan Januari 2006. Akan terjadi peristiwa pembunuhan sehingga darah mengalir di Jumratul Aqabah pada hari Idhul Adha di Mina. Haji pada kali ini tidak lagi berlaku dalam suasana aman. Selepas peristiwa ini era Imam Mahadi akan bermula pada awal Muharram 1427 hijrah bersamaan Februari 2006.

Percayalah era Imam Mahadi dan Dajjal sudah terlalu hampir. Kaum Yahudi amat yakin pemimpin Agung mereka iaitu Al-Moshaikh ( Dajjal) akan muncul mengetuai mereka. Kaum Kristian pula amat yakin bahawa Al-Masih ( Nabi Isa a.s) akan muncul memimpin mereka. Manakala kita, kaum muslimin yakin bahawa Al-Mahadi, Al-Moshaikh( Dajal) dan Al-Masih a.s akan muncul. Menarik bukan?

Sesungguhnya Yahudi sedang kecut perut yang teramat-amat. Mereka membina tembok-tembok di Israel. Menanam pokok Ghardaqah dengan banyaknya. Malah telah menempah pedang Titanium dengan banyaknya. Hari mereka akan disembelih di bumi Israel makin hampir. Mereka menempatkan tentera proksi di bumi Afghanistan dan Iraq untuk menghadang tentera dari Timur. Tetapi ramai umat Islam sedang lalai dan hampir tidak ambil peduli pada era yang ditentukan olehNya tetapi telah dikhabarkan oleh RasulNya 1426 tahun lampau.

Ketahuilah era Islam menakluki dunia semakin hampir. Benarlah sabda Rasulullah saw bahawa akan sampai satu masa tidak akan ada satu pintu yang tidak akan dimasuki Islam. Panjang umur kita semua akan menyaksikan seorang pemimpin Agung bergelar Imam Mahadi akan memerintah dunia sambil memegang panji-panji Islam.


Tadahkan tangan dan berdoalah untuk pemimpin Agung kita Khalifah Al-Mahdi dan para pejuangnya. Di segenap ceruk dunia kini, sedang bersiap-siap 40 wali kutub, 313 orang Al-Badri dan 360 orang An-Najd. Mereka akan diikuti oleh 100,000 pejuang kaum muslimin yang akan berjuang seperti singa di waktu siang dan berdiri malam beribadat kepada Allah. Mereka-mereka yang terpilih itu kini berada di mana-mana. Setiap mereka akan mendapat alamat dari Allah. Apabila seruan tiba ( sedikit masa lagi) mereka akan menyahut seruan datang berbai’at/ berjanji setia dengan Imam Mahadi dan bersedia mencagarkan nyawa untuk agama. Mereka akan berduyun-duyun tampil mempertaruhkan jiwa raga untuk berjuang di sisi Imam Mahadi menegakkan kalimah Allah di muka bumi.

Tetapi sebelum bendera Islam berkibar diseluruh pelosok alam, beberapa peristiwa yang besar akan berlaku terlebih dahulu dan merubah senario kehidupan di luar kebiasaan dan jangkaan. Tiada lagi teknologi maklumat, Teknologi bio dan teknologi nano. Bursa saham di seluruh dunia akan merudum dan berakhir.

Saya pernah diberitahu oleh seorang ulamak yang warak bahawa Imam Mahadi akan berdoa kepada Allah agar minyak dilenyapkan dari muka bumi. Katanya waktu itu manusia akan berkenderaan hidup bukan berkenderaan mati. Bayangkan dunia tanpa minyak. Peperangan di era Mahadi hanya akan berlaku di waktu siang dan bersenjatakan panah, pedang dan tombak.

Mustahil? Allah Maha Berkuasa untuk melakukan sesuatu. Mengapakah Kaum Yahudi menempah pedang-pedang titanium? Adakah mereka lebih mengetahui dari kita? Memang mereka lebih mengetahui, peka, yakin dan sedang bersedia bersungguh-sungguh untuk menghadapi saat-saat genting pemusnahan bani Yahudi secara total dari muka bumi. Yahudi memang suka melawan takdir.

Mengenai Imam Mahadi. Tanpa prejudis saya menulis. Janganlah saudara terkejut bahawa pemimpin Agung yang bakal memerintah dunia itu akan datang dari dunia sebelah sini. Beliau akan muncul dari kalangan Bani Jawi. Bukan Bani Arab dan bukan Bani Israel.

Bani Jawi? Mungkin sebahagian dari kita termangu-mangu dan tertanya-tanya mengenai bani jawi. Pernah dengar ungkapan “ masuk jawi” dan tulisan jawi?. Apa maksud Jawi tersebut. Bani Jawi asal usulnya dari keturunan Nabi Ibrahim a.s. Semasa keluar berdakwah meninggalkan Siti Hajar dan Ismail a.s yang masih kecil, Nabi Ibrahim sampai ke Kampuchea dan berkahwin di sana. Keturunan baginda berkembang biak di Nusantara dan bergelar Bani Jawi. Tidak hairanlah militeri Israel telah lama bertapak di Singapura sebagai penasihat. Apa yang mereka cari? Kaum Yahudi telah mengetahui siapa Rasulullah dan di mana baginda dilahirkan. Demikian juga, Yahudi telah mengetahui siapa dia Imam Mahadi, di mana dia dilahirkan. Mereka sedang kelam kabut mencari Imam Mahadi kerana mereka tahu inilah orang yang akan menjadi khalifah dan memimpin kaum muslimin menyembelih mereka nanti. Tetapi mampukah Yahudi mengalahkan perancangan Allah swt?

Sesungguhnya dari Bani Arab ada pemimpin agung, Rasulullah saw yang tercinta, dari Bani Israel muncul Musa a.s dan di akhir zaman muncul Mahadi a.s. Al-Muntazar dari kalangan Bani Jawi. Imam Mahadi a.s. adalah orang Jawi. Ada darah Rasulullah saw sebelah saidina Hassan r.a.dalam dirinya. Imam Mahadi telah wujud dan akan memimpin dunia ini dengan akhlak Allah yang mulia. Adil dan saksama. Di mana beliau berada? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Imam Mahadi bukan manusia luar biasa. Beliau adalah manusia biasa tetapi beliau adalah insan pilihan Allah. Sampai masanya beliau akan ditarbiyah oleh Allah hanya dalam satu malam sahaja. Bacalah kisah Jalut dan Talut yang tercatit dalam Al~Quran. Pemimpin bani Israel itu hanyalah seorang gembala kambing. Tiba-tiba sahaja dia dilantik menjadi pemimpin.Ini cerita dalam Al~Quran. Manakala Rasulullah saw pula hanyalah seorang anak yatim. Di saat dipilih sebagai Rasulullah, baginda pernah diperlekehkan oleh kaumnya. Ada yang tidak percaya. Ada yang menolak bulat-bulat. Imam Mahadi juga akan mengalami nasib yang sama. Ianya sunnatullah.

Imam Mahadi bukan seorang insan bersinar-sinar bercahaya turun dari langit. Bukan juga seorang yang mempunyai kekuatan ghaib dan sakti. Beliau memiliki nusrah Allah swt. Peperangan demi peperangan akan dilalui olehnya untuk mengembalikan sinar agama di bumi ini. Kemenangan demi kemenangan akan dicapai oleh Imam Mahadi bersama tenteranya dengan izin Allah.

Imam Mahadi tidak mencari harta dan kedudukan. Malah beliau akan membahagi-bahagikan harta sewenang-wenangnya. Yang beliau mahukan agar setiap manusia di muka bumi ini kembali memuji Allah dan mengagungkan hanya Allah. Beliau menyambung kerja Nubuwwah. Menyeru manusia kepada Allah. Beliau adalah Amirul mukminin dan Khalifah yang kita tunggu-tunggu.

Imam Mahadi akan dibantu oleh pejuang-pejuang yang cintakan hanya Allah dan Rasul saw. Mereka sanggup mati kerana agama yang suci seperti para sahabat. Niat mereka juga seperti Imam Mahadi. Pengikut Mahadi a.s bukanlah pecinta dunia. Mereka tidak mencari pangkat dan harta, Mereka membantu Imam Mahadi menyebarkan kalimah Allah di segenap pelosok bumi dengan diri dan harta mereka.

Lawatilah laman web zionis – “ Temple institute”. Di sana kita akan lihat betapa gigihnya kaum Yahudi mahu membina biara suci untuk menyambut kedatangan Al-Mosaikh mereka yang dinanti-nati sekian lama sebagaimana yang tercatat dalam kitab mereka.

Saya menyeru kepada diri saya dan kaum muslimin agar membuat persiapan. Jangan berlengah lagi. Masanya bukan dekat. Tetapi teramat dekat. Kita tidak perlu membina Mesjid khas seperti kaum Yahudi. Imarahkanlah mesjid ditempat masing-masing. Ajak-mengajaklah denga penuh hikmah dan kasih sayang sesama kita. Hidupkan rumah-rumah Allah dengan amalan-amalan. Tingkatkan amalan persendirian dan ajaklah kaum keluarga meningkatkan amalan sebelum ujian-ujian besar melanda gelombang demi gelombang.

Akhir sekali saya mengingatkan diri saya dan kaum muslimin agar jangan bertangguh-tangguh lagi mengamalkan tunjukajar Rasulullah saw sejak 1426 tahun yang lampau. Rasulullah saw mengajar doa tersebut kepada umatnya untuk mengelak dari fitnah Dajjal. Rasulullah saw mengajar doa tersebut kepada para sahabat begitu teliti seperti mengajar ayat Al~Quran pada 1426 tahun yang lampau. Masa yang masih jauh dari era Dajal. Tetapi para sahabat telah mengamalkannya. Sedangkan kita berada di ambang era fitnah Dajjal, Masihkah kita ambil sifat tidak endah? Mungkin ada yang tahu tetapi mengambil sikap sambil lewa dan menangguh-nangguh. Sedihnya sebahagian besar umat ini langsung tidak tahu doa ini. Apalagi mengamalkannya.

Fitnah Dajal adalah besar dan serius. Ini bukan masalah hidup atau mati. Tetapi mereka yang terpengaruh dengan sihir Dajal akan jadi kafir, Na’uzubillah. Sabda Rasulullah saw mahfumnya, sejak zaman Nabi Adam, tidak ada Nabi yang tidak mengingatkan umat mereka tentang fitnah Dajal. Sedarlah dan sedarkanlah seluruh kaum muslimin tentang peristiwa paling dahsyat yang bakal berlaku sedikit masa nanti. Salin dan sebarkan doa yang saya lampirkan ini.

Saya memohon ampun kepada Allah dan meminta maaf kepada kaum muslimin jika ada salah dan silap dalam penulisan ringkas ini. Saya hanya memberi peringatan.

Ya Allah berilah Hidayat, Hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda. Bantulah baginda. Begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya.

Ya Allah selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal.

Ya Allah bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang.

Wallahu a'lam bisshawab.

Abu Basyir Ad-Daiki Al~Jawi

Khamis, 5 Julai 2012

Memaafkan Untuk Ke Syurga

Setiap hari di bumi Allah, kita berhubungan dengan makhluk lain ciptaan Allah terutamanya sesama manusia. Jika kita seorang ibu yang bekerjaya, selalunya kita akan berhadapan dengan suami, anak-anak, rakan sekerja dan ramai lagi. Pastinya dalam hubungan itu, kadangkala hati kita disakiti atau muncul perasaan benci kerana berlaku salah faham. Kadangkala amat sukar untuk kita memaafkan. Apatah lagi melupakan sesuatu yang menyakitkan hati dan perasaan.

Kita selalu memberi alasan bahawa iman kita bukanlah sehebat iman seorang Nabi. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW duduk bersama sahabat di dalam masjid lalu baginda bersabda dengan ertinya: "Sekarang ini seorang lelaki penghuni syurga akan muncul dari sebelah pintu itu." Maka muncullah seorang lelaki yang baru sahaja selesai mengambil wuduk. Janggutnya masih basah dan menitiskan air sisa wuduk. Kemudian dia solat sunat dua rakaat dan setelah itu dia duduk.

Pada hari kedua Rasulullah SAW berkata lagi dengan ucapan yang serupa dan begitulah juga pada hari ketiga. Ibnu Umar RA mengekori lelaki tersebut dan memohon agar dapat tidur di rumahnya. Dia amat hairan kerana lelaki tersebut biasa-biasa sahaja.  Seperti orang lain juga yang mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan lain-lain. Lalu Ibnu Umar RA bertanya kepadanya, "Wahai saudara! Demi Allah sebenarnya aku ingin mengetahui cara amalanmu kerana aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda sebanyak tiga kali bahawa kamu termasuk salah seorang penghuni syurga. Amalan apakah yang kamu lakukan sehingga kamu boleh meraih penghargaan yang hebat daripada Rasulullah SAW? Setiap malam aku memerhatikan amalanmu, tetapi solat sunatmu tidaklah terlalu banyak, dan begitu juga dengan amalan lain yang tiada beza dengan kebanyakan orang." Lelaki itu menjawab, "Demi Allah, tiada tuhan selain Dia! Sebenarnya amalanku biasa-biasa sahaja. Tiada perkara yang perlu dilebihkan dari kebanyakan orang. Namun apa yang terpenting, iaitu ketika aku ingin tidur pada waktu malam, aku tidak pernah menyimpan rasa dendam, tipu daya, hasad dengki dan iri hati kepada mana-mana orang Muslim. Hanya itulah yang aku lakukan sepanjang hidupku." Maha Suci Allah, sungguh hebat darjat seorang Muslim yang suci hatinya dari perasaan dendam, hasad dengki dan iri hati terhadap sesama manusia. Mereka tenang di dunia dan juga bahagia di akhirat.

Selasa, 24 Januari 2012

Kisah Maryam Di Kebumi Oleh Malaikat Dan Bidadari Syurga

Nabi Isa adalah nabi yang dilahirkan tanpa ayah dengan izin Allah dan Maryam adalah ibu yang telah melahirkan, menjaga dan mendidik Nabi Isa dengan penuh kasih sayang. Suatu hari Nabi Isa telah bekata kepada ibunya, “Sesungguhnya dunia ini adalah kampung yang akan musnah dan sesungguhnya akhirat itu adalah kampung yang kekal, oleh itu, marilah ibu besama saya”.

Setelah berkata demikian, maka berangkatlah mereka menuju ke gunung Lebnon. Apabila sampai di gunung tersebut, maka Nabi Isa dan ibunya berpuasa di siang hari dan mendirikan solat di malam hari. Makanan mereka terdiri daripada pohon kayu dan meminum air hujan sahaja.

Setelah sekian lama Nabi Isa dan ibunya tinggal di gunung tersebut, maka suatu hari Nabi Isa turun dari gunung tersebut untuk mencari daun kayu untuk mereka berdua berbuka puasa. Setelah Nabi Isa turun ke bawah, datanglah malaikat menghampiri Maryam dan berkata, “Assalamualaiki ya Maryam, orang yang sangat patuh mengerjakan puasa pada siang hari dan mengerjakan solat pada malam hari”.

Sebaik saja Maryam melihat orang yang memberi salam itu, maka Maryam berkata, “Siapakah kamu ini? Badan dan seluruh anggotaku menggeletar dan berasa takut mendengar suaramu”. Malaikat tersebut menjawab, “Aku adalah malaikat yang tidak mempunyai belas kasihan kepada sesiapa pun baik anak kecil, orang tua atau sebagainya sebab aku adalah malaikat pencabut nyawa (Izrail)”.

Mendengar penjelasan malaikat maut, maka Maryam bertanya, “Wahai malaikat maut, apakah tujuan kamu ke sini? Adakah kamu mahu menziarahi aku atau pun mencabut nyawaku?” Izrail menjawab, “Wahai Maryam, kedatanganku adalah untuk mencabut rohmu”. Maryam yang mengetahui ajalnya sudah hampir berkata lagi, “Wahai malaikat maut, apakah kamu tidak mahu memberikan peluang sehingga anakku yang menjadi penawar mengubati kerisauan hatiku?”

Malaikat maut memperjelaskan perintah Allah yang memerintahkannya untuk menjemput roh Maryam dan beliau tak dapat mengsia-siakan walau satu saat. mendengar penjelasan Izrail, dengan hati yang ikhlas, Maryam berkata, “Wahai malaikat maut, kamu telah menerima perintah Allah, oleh itu laksanakanlah perintah itu dengan segera.” Izrail segera mendekati Maryam dan mencabut rohnya.

Selesai waktu Isyak yang akhir, Nabi Isa pulang dengan mendaki gunung tersebut dan membawa bekalan berbuka puasa. Beliau melihat ibunya sedang berada di tempat solat dan menyangka bahawa ibunya sedang sembahyang. Beliau meletakkan bekalan makanan untuk berbuka puasa dekat dengan ibunya lalu beliau berdiri menghadap kiblat. Setelah sekian lama, beliau memanggil ibunya untuk berbuka puasa dan mengerjakan ibadah tanda syukur kepada Allah, namun beliau melihat tak sedikit pun makanan terusik oleh ibunya walau dua pertiga malam telah berlalu.

Nabi Isa memanggil lagi ibunya, “Assalamualaiki ya Ummaahu”. Oleh kerana fajar telah menjelma dan ibunya tidak lagi bangun, maka beliau menghampiri ibunya dan meletakkan pipinya pada pipi ibunya lalu menciumnya sambil menangis dan berkata, “Assalamualaiki ya Ummaahu. Malam telah berlalu dan fajar telah menjelma, ini adalah masa untuk menunaikan fardhu yang telah diwajibkan oleh Allah”.

Setelah Nabi Isa berkata demikian, maka menangislah para malaikat dan para jin yang berada di sekitarnya dan bergoncanglah gunung di bawahnya. Kemudian Allah mewahyukan kepada para malaikat, “Apakah yang menyebabkan kamu semua menangis?” Para malaikat berkata, “Tuhan kami, Engkau Maha Mengetahui”. Setelah itu tiba-tiba kedengaran satu suara berbunyi, “Wahai Isa, angkatlah kepalamu itu, sesungguhnya ibumu telah meninggal dunia dan Allah telah melipatgandakan pahalamu”.

Sebaik sahaja Nabi Isa mendengar suara tersebut, maka beliau sambil menangis berkata, “Siapakah yang akan menjadi temanku tatkala aku sunyi dan di kala aku menangis? Siapakah yang dapat aku ajak berkata-kata dan siapakah yang dapat membantu aku dalam ibadahku?” Kemudian Allah mewahyukan kepada gunung yang bermaksud, “Wahai gunung, nasihatilah Ruh-Ku (Isa A.S.)”.

Berkata-katalah gunung tersebut dengan izin Allah, “Wahai Ruh Allah, apakah erti kesusahanmu itu, ataukah kamu mahu Allah sebagai pendampingmu yang menggembirakan?” Setelah mendengar nasihat gunung, lalu Nabi Isa turun ke sebuah desa tempat tinggal Bani Israil dan meminta pertolongan mereka untuk menguruskan jenazah ibunya. Namun mereka tak mahu menolong Nabi Isa kerana takut pada ular-ular besar yang ada di gunung tersebut.

Nabi Isa dengan perasaan hampa naik kembali ke gunung dan beliau melihat dua orang pemuda yang sangat kacak rupa parasnya lalu beliau memberi salam dan meminta pertolongan mereka untuk memakamkan jenazah ibunya. Lalu berkata salah seorang dari pemuda itu, “Aku ini sebenarnya adalah malaikat Mikail dan sahabatku ini adalah malaikat Jibril. Aku ada membawa ubat tubuh dan kain kafan dari Tuhanmu dan para bidadari jelita sekarang sedang turun dari syurga untuk memandikan dan mengkafankan ibumu”.

Setelah itu, malaikat Jibril pun menggali kubur di atas gunung. Selesai sahaja kerja memandi dan mengkafankan dilakukan oleh para bidadari syurga, mereka menyembahyangkan jenazah Maryam dan mengebumikannya. Lalu Nabi Isa berdoa kepada Allah, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui tempatku dan Engkau mendengar kata-kataku dan tidak sedikit pun urusanku yang tersembunyi dariMu. Ibuku telah meninggal dunia sedang aku tidak menyaksikannya sewaktu dia wafat. Oleh itu izinkanlah dia berkata sesuatu kepadaku”.

Kemudian Allah mewahyukan kepada Nabi Isa, “Sesungguhnya aku telah memberi izin kepadanya”. Nabi Isa lalu pergi ke kubur ibunya dan berkata, “Assalamualaiki ya ibu, bagaimanakah dengan tempat pembaringanmu dan tempat kembalimu dan bagaimanakah pula kedatangan Tuhanmu?” Dengan izin Allah Maryam berkata, “Tempat pembaringanku dan tempat kembaliku adalah sebaik-baik tempat, sedang aku mengadap kepada Tuhanku, aku tahu bahawa Dia telah menerimaku dengan rela”.

Berkata Nabi Isa lagi, “Wahai ibu, bagaimanakah rasa sakitnya mati?” Ibunya menjawab, “Demi Allah yang telah mengutuskanmu sebagai nabi dengan sebenar-benarnya, belum hilang lagi rasa pedihnya mati, demikian juga dengan rupa malaikat maut yang belum hilang dari pandangan mataku. Alaikas salam wahai kasih sayangku sampai hari kiamat“

Isnin, 23 Januari 2012

Sayidina Abu Bakar R.A Sahabat Sejati Rasullah S.A.W

Nama sebenar Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq adalah Abdullah bin ‘Utsman bin ‘Amir bin Ka’ab bin Sa’d bin Taim bin Murrah bin Ka’ab bin Luai. Sebelum Islam, beliau adalah seorang saudagar yang tersangat kaya serta datangnya dan keluarga bangsawan yang sangat dihormati oleh masyarakat Quraisy. Bahkan sebelum memeluk Islam lagi,

Sayidina Abu Bakar R.A  telah terkenal sebagai seorang pembesar Quraisy yang tinggi akhlaknya dan tidak pernah minum arak sebagaimana yang lazimnya dilakukan oleh pembesar-pembesar Quraisy yang lain. Dan segi umur, Saiyidina Abu Bakar R.A. adalah dua tahun lebih muda dan Rasulullah S.A.W. dan telah menjalin persahabatan yang akrab dengan baginda Rasullah lama sebelum Rasulullah S.A.W. menjadi Rasul.

Beliaulah tokoh sahabat besar yang dianggap paling banyak sekali berkorban harta benda untuk menegakkan agama Islam di samping Nabi Muhammad S.A.W. Kerana besarnya pengorbanan beliau itulah Rasulullah S.A.W. pernah mengatakan bahawa Islam telah tegak di atas harta Siti Khadijah dan pengorbanan Saiyidina Abu Bakar R.A. Adapun gelaran Al-Siddiq yang diberikan kepadanya itu adalah kerana sikapnya yang selalu membenarkan apa sahaja kata-kata mahupun perbuatan Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam hal ini elok kita petik suatu kisah seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud yang diceritakan sendiri kepadanya oleh Saiyidina Abu Bakar, tentang bagaimana Saiyidina Abu Bakar R.A. memeluk agama Islam.Dan memanglah tidak menghairankan sekali sikap Abu Bakar itu. Beliau telah kenal akan Nabi Muhammad S.A.W. bukan sehari dua, melainkan sudah boleh dikatakan seumur manusia. Beliau tahu bahawa sahabatnya itu berkata benar, tak pernah bohong; orang amin. Mustahil baginda akan khianat kepada pengikutnya yang percaya kepadanya.

Beliau mengimani sahabatnya itu Pesuruh Allah Yang Maha Kuasa, menerima wahyu daripada Tuhannya. Beliau sudah bertahun-tahun mengikutkan petunjuk yang diwahyukan oleh Allah kepada sahabatnya itu maka telah teguhlah iman dalam hatinya. Keunggulan beliau dapat dilihat dengan jelas selepas wafatnya Rasulullah S.A.W. di kala mana ummat Islam hampir-hampir menjadi panik serta tidak percaya kepada kewafatannya.

Bahkan sahabat besar Saiyidina Umar Al Khattab R.A sendiri telah diselubungi kekacauan fikiran dan tampil ke muka umum sambil mencabar dan mengugut sesiapa sahaja yang berani mengatakan baginda telah wafat. Ujar Sayidina Umar r.a., “Rasulullah SAW tidak wafat, dia hanya pergi menghadap Allah sahaja seperti perginya Nabi Musa A.S yang telah menghilangkan diri dan kaumnya selama empat puluh hari, kemudian pulang semula kepada kaumnya setelah diheboh-hebohkan wafatnya. Ketika kegawatan itu berlaku Saiyidina Abu Bakar E.A sedang berada di suatu kampung Al-Sunnah.

Tatkala berita kewafatan Rasulullah S.A.W itu sampai kepadanya, beliau dengan segera menuju ke Madinah. Di sana beliau dapati ramai orang sedang berkumpul mendengarkan pidato Saiyidina Umar Al Khattab R.A tadi. Tanpa lengah-lengah lagi Saiyidina Abu Bakar R.A terus ke rumah puterinya Sayidatina Siti Aisyah R.A dan di sanalah beliau dapati mayat Rasulullah S.A.W. terbujur di satu sudut rumah. Beliau lantas membuka wajah Rasulullah S.A.W dan mengucupkannya, sambil benkata, “Wahai, betapa cantiknya engkau ketika hidup dan betapa cantiknya engkau ketika Wafat!

Kemudian beliau pun keluar mendapatkan orang ramai yang sedang dalam panik itu lalu berkata dengan nada yang keras: “Wahai kaum Muslimin! Barangsiapa yang menyembah Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW telah Wafat. Tetapi barangsiapa yang menyembah Allah maka Allah selama-lamanya hidup tidak mati. Seraya menyambung membacakan sepotong ayat dan Al Qur’an: “Rasulullah SAW itu tidak lebih dari seorang rasul seperti rasul-rasul yang terdahulu darinya. Jika ia Wafat atau terbunuh patutkah kamu berundur ke belakang.

Sesiapa yang surut ke belakang, dia tidak akan membahayai Allah sedikit pun dan sesungguhnya Allah akan memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur. Sejurus sahaja mendengar ayat itu, Saiyidina Umar Al Khattab R.A pun terus rebah hingga barulah beliau dan orang ramai Islam yang telah mendengar pidatonya tadi mendapat kepastian bahawa Rasulullah SAW sudah wafat. Kaum Muslimin tentunya telah pernah dengar ayat ini sebelumnya, kerana ayat itu telah turun semasa peperangan Uhud, ketika Rasulullah S.A.W. telah diberitakan mati terkorban dan menyebabkan banyak pejuang-pejuang Islam berundur ke Madinah.

Tetapi mereka tidaklah memahami maksud ayat ini seperti yang difahami oleh Saiyidina Abu Bakar R.A. Ini jelas membuktikan kecerdasan Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq R.A dalam memahami Islam. Ketika Rasulullah S.A.W. wafat, Baginda memang tidak meninggalkan pesan tentang siapa yang patut menggantikan baginda sebagai Khalifah ummat Islam. Tetapi setelah lama berbincang kaum Muslimin dengan suara ramai memilih Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq R.A sebagai Khalifah setelah namanya itu dicalonkan oleh Saiyidina Umar Ibnu Khattab R.A. Pemilihan ini tentulah tepat sekali kenana pada pandangan kaum Muslimin memang beliaulah yang paling layak sekali memegang kedudukan itu memandangkan kelebihan-kelebihannya dari para sahabat yang lain.

Apatah lagi beliaulah yang pernah ditunjuk oleh baginda Rasullah semasa hayatnya untuk menggantikan baginda sebagai imam sembahyang tatkala baginda sedang uzur. Setelah dipilih oleh sebahagian besar ummat ketika itu Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq R.A pun memberikan ucapannya yang terkenal yang antara lainnya baginda berkata: “Wahai sekelian ummat!

Aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu padahal aku ini bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Sebab itu jika pemenintahanku baik, maka sokonglah, tetapi jika tiada baik, maka perbaikilah. Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat pada sisiku hingga aku harus menolongnya mendapatkan haknya, sedang orang yang kuat di antara kamu adalah lemah pada sisiku, hingga aku harus mengambil hak orang lain yang berada di sisi nya, untuk dikembalikan kepada yang berhak semula. Patuhilah kepadaku selama aku patuh kepada Allah dan RasulNya. Akan tetapi jika aku mendurhakai Allah, maka kamu sekelian tak harus lagi patuh kepadaku.

Aku dipilih untuk memimpin urusan ini padahal aku enggan menerimanya. Demi Allah aku ingin benar kalau ada di antaramu orang yang cekap untuk urusan ini. Ketahuilah jika kamu meminta kepadaku agar aku berbuat sebagai yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. sungguh aku tidak dapat memperkenankannya, Rasulullah adalah seorang hamba Allah yang dapat kurnia wahyu dari Tuhan, kerana itu baginda terpelihara dari kesalahan-kesalahan, sedang aku ini hanyalah manusia biasa yang tidak ada kelebihannya dari seorangpun juga di antara kamu.

Ini adalah satu pembaharuan dalam pemerintahan yang belum pernah dikenali oleh rakyat jelata kerajaan Rome dan Parsi yang memerintah dunia barat dan timur ketika itu. Beliau telah mematuhi manifesto politiknya. Beliau hidup seperti rakyat biasa dan sangat tidak suka diagung-agungkan. Adalah diriwayatkan bahawa pada satu masa ada orang memanggilnya,

 ”Ya Khalifah Allah! Baginda dengan segera memintas cakap orang itu dengan katanya: “Saya bukan Khalifah Allah, saya hanya Khalifah RasulNya! Adalah diriwayatkan bahawa pada keesokan harinya iaitu sehari setelah beliau terpilih sebagai Khalifah, Saiyidina Abu Bakan R.A. kelihatan membawa barang perniagaannya ke pasar. Beberapa orang yang melihat itu lalu mendekati baginda, di antaranya Sayidina Abu Ubaidah Bin Jarrah R.A. Sahabat besar itu mendekati baginda seraya berkata,

 ”Urusan Khalifah itu tidak boleh dicampuri dengan berniaga! Lalu Sayidina Abu Bakar R.A. bertanya, “Jadi dengan apakah aku hidup, dan bagaimana aku membelanjai rumah tanggaku? Demikian sedihnya nasib yang menimpa Saiyidina Abu Bakar R.A. sebab walaupun kedudukannya sebagai Kepala Negara namun belum ada lagi ketetapan untuk bagi seseorang kepala pemerintah Islam memperolehi gaji dari harta kerajaan. Keadaan ini mendapat perhatian dari para sahabat lalu mereka menentukan tunjangan secukupnya buat baginda dan buat keluarga baginda yang diambil dari Baitul Mal.

Kemudian itu baharulah Khalifah Abu Bakar R.A meninggalkan usaha perniagaannya kerana hendak memusatkan seluruh tenaganya untuk mengembangkan agama Islam dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Khalifah. Semasa bertugas sebagai Khalifah ummat Islam baginda hanya menerima peruntukan sebanyak enam ribu dirham sahaja setahun iaitu kira-kira lebih kurang 1,200 dolar sahaja setahun. Peruntukan itu tidak dibelanjakannya untuk keperluan dirinya malahan sebelum wafatnya beliau telah memerintahkan supaya pendapatannya itu diserahkan kembali kepada Baitul Mal.

Kebijaksanaan Sayidina Abu Bakar R.A. juga ternyata dalam polisinya menyamakan pemberian elaun kepada orang-orang yang berhak agar mereka tidak dipisahkan oleh jurang-jurang perbezaan yang jauh agar tidak lahir satu golongan yang mendapat kedudukan yang lebih istimewa dan golongan-golongan yang lain. Sedangkan beliau sendiri hanya mengambil sekadar keperluan-keperluan asasi buat diri dan keluarganya.

Sebelum baginda wafat, kepada Saiyidina Umar Al Khattab R.A baginda telah mewasiatkan agar jangan menghiraukan jenazahnya nanti bila baginda pulang ke rahmatullah, melainkan haruslah dia segera mengirim bala tentera ke Iraq untuk membantu Al Muthanna yang sedang bertempur di Iraq itu. Saiyidina Abu Bakar R.A. tidak lupa mengingatkan Saiyidma Umar al Khattab R.A. apa yang dikerjakannya di waktu Rasulullah wafat dan bagaimana cintanya kepada Rasul dan perhatiannya kepada jenazah baginda yang suci itu tidak mengabaikannya dan melaksanakan kewajipan bianpun yang demikian itu amat berat bagi jiwanya.

Dengarlah antara lain kata-katanya kepada Sayidina Umar al Khattab R.A.: “Dengarlah hai Umar! Apa yang akan kukatakan ini dan laksanakanlah. Aku mengharap akan kembali ke hadrat Allah hari ini sebab itu sebelum matahani terbit pada esok hari engkau hendaknya telah mengirim bala bantuan kepada Al Muthanna. Janganlah hendaknya sesuatu bencana bagaimana pun besannya dapat melupakan kamu dan urusan agama dan wasiat Tuhan. Engkau telah melihat apa yang telah ku lakukan tatkala Rasulullah S.A.W wafat sedang wafatnya Rasulullah S.A.W  itu adalah satu bencana yang belum pernah manusia ditimpa bencana yang sebesar itu.

Demi Allah, andaikata di waktu itu aku melalaikan perintah Allah dan RasulNya, tentu kita telah jatuh dan mendapat siksaan Allah, dan pasti pula kota Madinah ini telah jadi lautan api. Dalam masa pemerintahannya yang singkat Saiyidina Abu Bakan Al-Siddiq R.A yang memerintah hanya dalam masa dua tahun sahaja itu telah meletakkan asas pembangunan sebuah pemenintahan Islam yang teguh dan kuat setelah berjaya mengatasi berbagai macam masalah dalam negeri dengan segala kebijaksanaan dan kewibawaannya.

Beliau telah memenuhi segenap janji-janjinya dan dalam masa dua tahun pemerintahannya itu telah terbentuk rantai sejarah Islam yang merupakan lembaran-lembaran yang abadi. Sungguh kehidupan Saiyidina Abu Bakar Al-Siddiq R.A adalah penuh dengan ibarat, penuh dengan nasihat, penuh dengan ajaran serta kenang-kenangan yang indah mulia. Selama dua tahun pemerintahannya itu baginda telah berjaya menyusun tiang-tiang pokok dan kekuatan Islam. Baginda telah membangunkan kekuatan-kekuatan yang penting bagi memelihara kepercayaan kaum Muslimin dan bagi memelihara keagungan Agama Islam. Bahkan Sayidina Abu Bakar R.A telah mengakhiri riwayat pemerintahan yang dipimpinnya dengan menundukkan sebahagian daripada negeri Syam dan sebahagian daripada negeri Iraq, Lalu pulang ke rahmatullah dengan dada yang lapang, ketika umur beliau 63 tahun. Beliau dikebumikan di samping makam Rasulullah S.A.W.

Jumaat, 20 Januari 2012

Kisah Nabi Musa a.s Dengan Seekor Burung Helang

Pada suatu hari Nabi Musa a.s. telah keluar dan pergi berjalan-jalan bersama dengan Yusa' bin Nun , tiba-tiba ada seekor burung putih yang hinggap pada bahu Nabi Musa a.s.

Burung itu berkata : "Wahai Nabi Allah lindungilah aku dari suatu pembunuhan pada hari ini".

Nabi Musa a.s bertanya : "Dari siapa?
Jawab burung itu : "Dari burung helang yang mahu memakan aku."

Burung itu lalu masuk kelengan baju Nabi Musa a.s dan tidak berapa lama datanglah burung helang terbang menghadap Nabi Musa a.s dan berkata

Burung helang berkata : "Hai Nabi Musa, janganlah engkau menghalangi aku dari buruanku."

Nabi Musa berkata : "Aku akan menyembelih seekor kambingku untukmu sebagai gantinya."

Jawab burung helang : "Daging kambing tidak sesuai bagiku."

Selanjutnya burung helang itu berkata : "Sebagai ganti, aku ingin makan dua biji matamu sebagai ganti."

Jawab Nabi Musa a.s : "Baiklah kalau demikian."

Kemudian Nabi Musa a.s tidur menelentang dan datanglah burung helang itu hinggap di dada Nabi Musa a.s dan hendak mematuk dua matanya dengan paruhnya.

Melihat yang demikian ini Yusa' bin Nun berkata : "Wahai Nabi Allah, apakah engkau menganggap mudah dua mata engkau, hanya dalam urusan burung ini sahaja?"

Maka burung itu terbang dari lengan baju Nabi Musa a.s dan helang pun mengejarnya. Akhirnya kedua-dua burung itu kembali menghadap kepada Nabi Musa a.s seraya berkatalah seekor dari antara keduanya : "Aku sebenarnya adalah malaikat Jibril dan kawanku ini adalah malaikat Mikail. Tuhanmu telah menyuruh kami menguji kepadamu boleh bersabarkah engkau dari qadha' Tuhanmu atau tidak."

Memang kesabaran itu harus dimiliki oleh setiap orang, lebih-lebih lagi orang yang beriman kepada Allah kerana memang orang yang beriman tidaklah akan dibiarkan begitu sahaja setelah ia menyatakan beriman kepada Allah, melainkan ia harus melalui ujian atau cubaan pula.

Rasulullah s.a.w bersabda bahawa sabar itu ada tiga:
Sabar terhadap bencana.
Sabar berlaku taat.
Sabar menjauhi perbuatan derhaka.
Barangsiapa sabar terhadap bencana, maka dicatat baginya tiga ratus darjat yang jaraknya jauh antara tiap-tiap dua darjat seperti jauhnya antara langit dan bumi.

Barangsiapa sabar berlaku taat, maka dicatatkan baginya enam ratus darjat yang jarak jauhnya antara dua darjat seperti jarak jauh antara permukaan bumi yang paling atas dengan dasar bumi yang ketujuh.

Barangsiapa sabar menjauhi perbuatan derhaka, maka dicatatkan baginya sembilan ratus darjat, yang jaraknya jauh antara tiap-tiap dua darjat seperti jarak jauhnya antara Arsy dengan bumi."

Rasullah S.A.W bersama Khadijah Binti Khuwailid

Keturunan Dan Budi Pekertinya

Khadijah adalah seorang puteri jelita, bangsawan Quraisy. Melalui rahim seorang wanita budiman, Fatimah binti Zaidah bin Al-Asyam bin Harim bin Rawahah bin Hajar bin ‘Abdi bin Ma’ish bin ‘Amir bin Luwai bin Ghalib bin Fihr, datuk peringkat ke sepuluh bagi Nabi Muhammad S.A.W. Bapa beliau bernama Khuwailid bin Asad bin ‘Abdul ‘Uzza bin Qusyai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luwai bin Ghalib bin Fihr. Mengikut salasilah nasab suku Quraisy, siti Khadijah tergolong dalam suku Quraisy Asadiyah iaitu salah satu suku yang dihormati pada zaman itu. Penamaan suku tersebut adalah dinisbahkan kepada Asad datuk beliau sendiri. Siti Khadijah dilahirkan di sebuah pangsapuri yang megah dan besar pada tahun 68 sebelum Hijrah atau 15 sebelum tahun gajah. Beliau diasuh dan dibesarkan oleh kedua-dua ibu bapanya dengan penuh kasih sayang serta diberikan Tarbiah yang sempurna dan sesuai dengan tuntutan zamannya Pendidikan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapanya diterima dan diikuti dengan taat dan patuh sehingga beliau tampil sebagai seorang wanita budiman yang berakhlak luhur dan tidak pernah bangga dengan taraf kebangsawanannya. Oleh itu, tidak menghairankan apabila kaumnya memanggilnya dengan gelaran Al-Tahirah yang bermaksud perempuan suci. Selain itu, beliau juga dikenali sebagai Sayyidatu Quraisy dan Ummu Hanad Nisbah dengan nama puteranya Hanad bin Abu Halah hasil dari perkahwinan beliau yang pertama. Ayahanda yang tercinta, Khuwailid bin Asad wafat sebelum perang Fijar, yakni perang saudara yang terjadi di Tanah Hijaz pada tahun 584 Masihi atau 15 tahun setelah peristiwa penyerangan Ka’abah oleh tentera Habsyah yang dipimpin oleh Abrahah. Setelah ayahanda beliau wafat, Siti Khadijah dijaga oleh bapa saudaranya Amrin bin Asad. Beliau menetap di rumah bapoa saudaranya dalam keadaan yang terkawal dan tidak berbeza dengan apa yang didapatinya ketika berada dalam asuhan dan jagaan ibu bapanya sendiri. Ketika itu beliau telah berusia lebih kurang 30 tahun. Selaku wanita yang mendapat Tarbiah sejak kecil, Siti Khadijah telah memiliki sikap peribadi yang mulia. Beliau berpegang kuat kepada nilai dan tatasusila yang terpuji. Beliau juga dikenali sebagai seorang wanita bijak dan memahami saesuatu masalah (dzakiyah), menjaga diri dari amalan keji (‘iffah), berperilaku yang suci (Thuhri), murah hati (Samahah), pemurah (Sakha’). Di samping itu, Sayyidina Khadijah juga adalah seorang wanita yang berketurunan mulia lagi bangsawan, teguh hati, cergas (‘Aqilah), terpelihara (Mashunah), agung (Jalilah), suci hatinya (Naqiyyah al- Sarirah), bersih jiwanya (Syafiyah al-Ruh). Wajahnya cantik menawan, berseri, halus perasaannya, merasa puas hati melakukan sesuatu dengan adil.

Perkahwinan Dengan Abu Halah

Tahun demi tahun Siti Khadijah telah melangkah memasuki alam remajanya, namun beliau masih mempunyai sifat-sifat terpuji yang diamalkannya sejak kanak-kanak. Kejelitaan dan wajahnya yang ayu sentiasa menjadi sebutan setiap orang. Sikapnya itu juga telah menawan hati para pemuda untuk menyuntingnya dan dijadikan sebagai teman hidup. Kebanyakan pemuda yang datang meminang berasal dari kalangan orang-orang terpandang dan bangsawan Quraisy. Setelah di teliti, Siti Khadijah telah menetapkan pilihannya terhadap seorang lelaki bernama Abu Halah bin Zurarah bin Habib bin Salamah bin ‘Adiy bin Jarwah bin Usaid bin ‘Amru bin Tamin Al-Tamini, keturunan Bani ‘Abdi Al-Dar bin Qusyai. Bersama Abu Halah, Siti Khadijah dikurniakan dua orang cahayamata, Hindun bin Abu Halah dan Zainab binti Abu Halah. Hindun adalah anak lelaki Khadijah yang sempat berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W dan menganut agama Islam. Malah, dia termasuk orang yang baik pekertinya serta turut sama membantu dalam menyebarkan syiar Islam. Setelah beberapa tahun selepas Abu Halah meninggal dunia, Siti Khadijah kemudiannya telah berkahwin dengan seorang lelaki dari kalangan bangsawan Quraisy yang dikenali sebagai ‘Atiq bin ‘Atidz bin ‘Abdillah bin Umar bin Mahzun Al- Mahzumiy. Perkahwinan beliau dengan ‘Atiq tidak kekal lama dan mereka telah berpisah. Namun tidak pernah dinyatakan sama ada perpisahan itu berlaku kerana ‘Atiq meninggal dunia atau mereka bercerai hidup. Selepas perpisahan dengan ‘Atiq bin ‘Atidz, Siti Khadijah telah menjanda bertahun-tahun lamanya, sungguhpun ramai bangsawan dan hartawan datang meminang namun beliau belum berniat untuk berkeluarga semula. Beliau lebih menumpukan perhatian dalam mendidik dan mengasuh anak-anaknya dan menguruskan perniagaannya.

Perjalanan Yang Membawa Berkat

Kepandaian Khadijah mentadbir perniagaannya menjadi buah mulut. Bukan saja kerana beliau orang kaya tetapi kerana sikap dermawan beliau yang menarik hati masyarakat shingga beliau juga dipanggil sebagai wanita bangsawan, hartawan dan dermawan. Kebolehan Siti Khadijah mengurus perniagaannya membuatkan perniagaannya bertambah maju hingga ke Yaman dan Syam. Beliau bercadang untuk menyerahkan urusan perniagaannya di Makkah dan Yathrib kepada lelaki Quraisy yang boleh dipercayai . Berita mengenai kejujuran Muhammad sampai ke pengetahuan Khadijah, lalu diutus pembantunya Maisarah untuk menemui Abu Thalib bin Abdul Mutalib untuk meminta Muhammad bekerja dengannya. Beliau berjanji untuk memberi upah yang berganda kepada Muhammad. Abu Thalib gembira dengan tawaran itu, lalu disampaikan kepada Muhammad. “Hai Muhammad, hidup kita sekeluarga miskin, aku tidak berharta jadi eloklah kiranya engkau (anakku) bekerja dengan Khadijah. Beliau telah mempercayai kejujuranmu untuk mengurus perniagaannya.” “Terpulang pada pak cik, mana yang baik saya ikut saja.” Muhammad Al-Amin menjawab. Setelah bersetuju, Muhammad berjumpa dengan Khadijah untuk berbincang dan membuat perjanjian: “Aku manawarkanmu pekerjaan ini kerana aku yakin kamu seorang yang amanah dan boleh mengurusi perniagaanku ini. Keluhuranmu telah tersebar di merata-rata hatta di luar Makkah.” Tegas Siti Khadijah. Maka berangkatlah Muhammad dan pengikutnya menuju ke Syam. Khadijah mengarahkan pembantunya Maisarah agar turut serta dengan Muhammad bagi menyelidiki kebenaran mengenai kejujuran dan kebaikan Muhammad. Setelah keberangkatan mereka ke Syam, Khadijah memikirkan berita yang akan disampaikan oleh Maisarah pada kepulangan mereka nanti. Di hatinya terasa bimbang mengenai keselamatan Muhammad dalam perjalanan tersebut terutama gangguan Yahudi.

Berita Gembira Untuk Khadijah

Setelah selesai semua urusan dagangan di Makkah, Muhammad bersama Maisarah berangkat kembali ke Makkah bersama kafilah. Mereka pulang dengan membawa keuntungan yang besar. Setiba mereka di Mekah, Maisarah terus berjumpa Khadijah yang menanati dengan wajah yang begitu ceria. Beliau bertanya tentang dagangan dan juga mengenai Muhammad. Semua pertanyaan Khadijah dijelaskan oleh Maisarah hingga Khadijah berpuas hati. Maisarah menyatakan keanehan Muhammad kepada Khadijah: “Saya melihat segumpal awan sentiasa memayungi Muhammad dari terik cahaya matahari sepanjang perjalanan itu, bagaikan pesuruh Allah yang patuh kepada Muhammad…” Cerita Maisarah kepada Khadijah yang terpegun mendengar berita tersebut. “Satu perkara lagi ialah ketika kami berehat kerana letih. Waktu itu Muhammad Al-Amin berteduh di bawah sepohon rendang yang berhampiran dengan rumah seorang rahib Nasrani bernama Nastur. Dia telah mengetahui mengenai Muhammad apabila melihat bayang-bayang pohon yang memanjang melindungi Al-Amin dari terikkan panas matahari.” Khadijah tidak sabar untuk mendengar cerita seterusnya dan menggesa Maisarah untuk bercerita lagi. “Rahib Nasrani itu mendekati kami dan menyatakan bahawa tidak ada seorangpun yang berteduh di bawah pohon itu melainkan para Nabi dan Rasulyang diberi keistimewaan oleh Allah dengan sifat-sifat mulia dan terpuji. Kemudian rahib itu bertanya adakah terdapat tanda merah pada kedua-dua matanya dan saya menyatakan memang ada. Lalu dia berkata bahawa dugaannya dari awal lagi memang benar. Dia telah menyuruh saya menjaga Muhammad dengan baik dan bersopan kepadanya.” Jelas Maisarah. Mendengar berita itu Siti Khadiajh semakin ghairah ingin mengetahui mengenai Muhammad. Maisarah bercerita lagi tatatertib Muhammad melayani pelanggannya. Baginda tidak pernah merayu supaya orang ramai membeli barang dagangannya. “Sungguh gembira sekali berniaga bersama Muhammad. Sikapnya lemah lembut, jujur dan menawarkan harga yang berpatutan membuatkan semua orang ingin membeli barang dagangannya.” Mendengar akan hal itu, Khadijah begitu yakin bahawa pilihannya tidak merugikan malah memajukan lagi perniagaannya. Dalam pada itu, Muhammad datang untuk menyerah segala hasil dagangannya kepada Khadijah. Khadijah telah menanti kedatangan Muhammad dengan hati yang gembira. Muhammad dilayan dengan begitu baik dan hormat. Laporan dari Muhammad begitu menyenangkan Khadijah dan beliau membayar upah Muhammad seperti yang telah dijanjikan dulu. Muhammad pulang dengan membawa upahnya. Bapa saudaranya, Abu Tahlib berasa gembira melihat Muhammad pulang dalam keadaan yang selamat. Muhammad pula berasa gembira kerana dapat membantu bapa saudaranya menyara kehidupan mereka sekeluarga. Setelah Muhammad pulang Khadiajh merasakan yang Muhammad begitu menyenangkannya dan beliau belum pernah bertemu dengan seorang pemuda seperti Muhammad. Kini Muhammad telah menarik perhatiannya.

Perkahwinan Yang Bahagia

Perhubungan Khadijah dan Muhammad selaku majikan dengan pekerja berjalan dengan baik. Perniagaan Khadijah semakin menggalakkan dan keuntungan yang diperolehi juga berlipat ganda. Beliau bertambah kaya dan sukar untuk ditandingi oleh peniaga-peniaga lain. Khadijah bukan sahaja menganggap Muhammad sebagai pekerjanya malah sebagai rakan kongsinya. Bagi Khadijah, Muhammad adalah aset yang menguntungkannya berbanding pekerja-pekerjanya yang lain. Khadijah bukan sahaja tertarik kepada Muhammad kerana kepandaiannya berniaga tetapi juga kerana Muhammad berbudi bahasa dan mempunyai ahklak yang tinggi jugfa kerana ketampanan serta kemerduan suaranya. Tutur bicaranya yang lembut sentiasa diingati oleh Khadijah. Bukan sesuatu yang aneh apabila Khadijah menaruh harapan terhadap diri Muhammad. Wujud satu perasaan yang dirinya sendiri teragak-agak untuk menyatakannya. Beliau sering bertanya kepada dirinya sendiri kenapa harapan itu mesti tumbuh dan bersemi dalam dirinya tetapi malangnya beliau sendiri tidak menemui jawapan bagi persoalan tersebut. Khadijah yang telah menjanda merasakan kehadiran Muhammad yang bekerja dengannya telah membangkitkan perasaan indah dalam dirinya. Khadijah sendiri merasa hairan apabila perasaan itu muncul semula setelah usianya meningkat. “Wahai hati…!” bisiknya. “ Apa gerangan yang membuat engkau muncul semula…? Padahal sekian lama engkau beku dan tidur dalam kebisuan yang panjang…? Sungguhpun begitu, perasaan itu dipendamnya sendiri dan beliau berasa malu untuk menyatakan perasaannya itu kepada orang lain walaupun kepada orang yang amat dipercayainya. Ini kerana beliau bimbang akan umpatan orang ramai mengenainya, padahal sekian lama beliau menutup pintu hatinya untuk lelaki sama ada dari golongan bangsawan atau hartawan Quraisy. Apabila sedar akan hal itu, beliau berasa malu dengan dirinya sendiri dan beliau sedar akan perbezaan usianya dengan Muhammad Al-Amin. Lagipun baginya Muhammad belum tentu sudi untuk menerima dirinya sebagai teman hidup. Muhammad masih muda, tampan, segak, bangsawan dan berakhlak mulia. Hanya satu sahaja keunggulan Khadijah iaitu mempunyai harta yang banyak. Tetapi beliaujuga mengetahui bahawa Muhammad bukanlah seorang yanmg mahukan harta kekayaan. Dalam keadaan khayal yang tiada hujung pangkalnya, Khadijah telah mendengar bunyi ketukan di pintu rumahnya. Kebimbangannya hilang serta merta apabila melihat sahabatnya yang datang berkunjung iaitu Nafisah binti Minyah. Perbualan kedua-dua sahabat itu amat menggembirakan, dari masalah negara sampailah ke persoalan rumah tangga. Tanpa disedari, terungkaplah nama Muhammad mengenai amal laku dan kebolehan Muhammad. Nafisah dapat membaca apa yang tersirat dalam hati Khadijah maka dengan sengaja Nafisah mengkhususkan perbicaraan mengenai peribadi Muhammad sehinggalah Khadijah meluahkan perasaan yang bersemi dalam hatinya kepada sahabatnya itu. “Tetapi…Adakah Muhammad akan menerima perasaan aku ini?” Tanya Khadijah. Nafisah menghibur hati sahabatnya itu dengan meningatkan kepadanya bahawa beliau adalah berketurunan mulia, hartawan, dermawan lagi cantik. Walaupun usianya telah meningkat namun beliau tetap cantik dan ayu yang menyebabkan ramai lelaki berminat untuk menyuntingnya. Nafisah telah berjanji untuk membantu Khadijah dengan melakukan sesuatu perkara yang masih dirahsiakan daripada Khadijah. Janji sahabatnya itu telah memberi keyakinan diri kepada Khadijah. Pada suatu hari, Nafisah sengaja pergi menjumpai Muhammad Al-Amin dan bertanya kepadanya. “Muhammad…Kenapakah engkau belum berkahwin?” Muhammad terdiam apabila terdengar akan pertanyaan itu. Muhammad kemudiannya menjawab sambil tersenyum: “Saya belum mampu untuk berumah tangga.” Jawabnya pendek. Nafisah bertanya lagi: “Apakah pendapatmu andai ada seorang wanita yang rupawan, hartawan, bangsawan dan dermawan memintamu untuk mengahwininya?” Sememangnya Muhammad faham akan ungkapan Nafisah itu, tetapi Muhammad tetap bertanya pula: “Siapakah wanita yang engkau maksudkan itu?” “Khadijah, Khadijah binti Khuwailid.” Jawab Nafisah singkat. “Seandainya beliau berkeinginan , saya tidak akan menolak.” Jawab Muhammad pula. Nafisah seolah-olah tidak percaya mendengar jawapan Muhammad itu. Bagi memastikan dirinya tidak tersilap Nafisah bertanya: “Apakah engkau berkata benar, Muhammad?” Gesanya. “Benar. Saya bersungguh-sungguh.” Jawab Muhammad. Setelah memperolehi jawapan dari Muhammad, Nafisah segera pergi ke rumah Khadijah untuk menyampaikan berita gembira bahawa Muhammad putera Abdullah itu bersetuju untuk mengahwininya. Wajah Khadijah berseri-seri setelah mendengar jawapan itu. Sebagai lambang kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah atas berita gembira itu, maka Khadijah membahagikan sebahagian hartanya kepada orang-orang miskin dan sesiapa saja yang memerlukan. Dalam pada itu, Muhammad Al-Amin segera memberitahu perkara itu kepada bapa saudaranya Abu Thalib, Abbas dan Hamzah. Mereka berasa gembira sekali dan tanpa perlu dibawa berbincang mereka telah menyetujui cadangan Muhammad untuk mengahwini Khadijah binti Khuwailid. Oleh itu, Muhammad meminta bapa saudaranya mengemukakan pinangan kepada pihak Khadijah. Maka ketiga-tiga mereka segera menemui keluarga Khadijah iaitu bapa saudaranya Amr bin Asad untuk mengemukakan pinangan Muhammad terhadap Khadijah. Amr bin Asad bersetuju dan menerima pinangan Muhammad. Pada hari yang telah ditetapkan, Muhammad pergi ke rumah Khadijah. Hadir sama pada majlis walimah itu ialah Hamzah, Abu Thalib dan Abbas. Kedatangan mereka disambut oleh keluarga Khadijah dengan mesra, disertai dengan tatacara penghormatan yang sederhana. Pada walimah itu, Abu Thalib menyampaikan ucapan bagi pihak lelaki dan ucapannya itu disambut oleh Amr bin Asad. Amr bin Asad menyatakan secara terbuka mengenai penerimaan ahli keluarganya terhadap Muhammad selaku suami anak saudaranya, Khadijah dengan mas kahwin (mahar) sebanyak 20 ekor unta. Berlangsungnya upacara pernikahan Muhammad dan Khadijah. Penyembelihan haiwan ternak dan tabuhan kompang menyemarakkan lagi majlis tersebut. Sementara orang-orang miskin pun turut bersuka ria dan mereka diberi layanan yang baik oleh keluarga Khadijah. Setiap seorang fakir dan miskin yang datang pada waktu itu akan diberi hadiah yang bernilai oleh Khadijah. Di antara jemputan yang turut hadir ialah Halimatul Saadiah, ibu susuan Muhammad. Beliau datang dari sebuah desa yang terletak di pedalaman Makkah dikenali sebagai desa Bani Saad hanya untuk menyaksikan perkahwinan Muhammad dan Khadijah. Halimah berada di rumah Khadijah selama 2 hari. Sepanjang itu Khadijah telah melayani Halimah dengan baik dan hormat. Muhammad begitu gembira dengan kehadiran Halimah di majlis tersebut dan merasakan seolah-olah pada waktu itu ibu kandungnya, Aminah turut menyaksikan hari yang penuh bermakna itu. Keesokan harinya, Halimah minta diri untuk kembali ke kampungnya. Pemergian wanita budiman itu direlakan oleh Muhammad dengan rasa senang hati dan Khadijah pula telah menghadiahkan 40 ekor kambing sebagai tanda terima kasih kepada wanita itu atas jasanya yang telah menyusukan suaminya, 25 tahun yang lampau. Khadijah bersyukur kerana dapat menjadi isteri Muhammad, seorang insan yang mulia dan dipuji oleh seluruh masyarakat Arab ketika itu. Bahkan suaminya adalah sebaik-baik lelaki di kalangan kaum Quraisy dan seutama manusia. Sebagai seorang isteri Khadijah amat pandai menjaga hati suaminya, bahkan beliau adalah contoh utama dalam hal menghormati dan mencintai suaminya. Khadijah amat memahami kesukaan suaminya sehinggakan kesukaan suaminya turut menjadi kesukaannya dan begitulah sebaliknya. Pada suatu hari, Khadijah melihat Muhammad amat sayang kepada bekas hamba beliau yang bernama Zaid bin Harisah, maka Khadijah turut memuliakan Zaid sebagaimana Nabi Muhammad memuliakan dan menyayanginya. Apabila Khadijah mendapat tahu bahawa Muhammad ingin mengambil anak bapa saudaranya, Ali bin Abu Thalib yanmg masih kecil, Khadijah pun memberi dorongan kepada suaminya mengenai perkara itu. Bahkan dia juga turut sama mendidik dan mengasuh Ali dengan penuh kasih sayang.

Rumahtangga Bahagia Dan Penuh Keberkatan

Rumahtangga yang dibina oleh Muhammad Al-Amin bersam Khadijah penuh kedamaian dan ketenteraman, aman dan bahagia, mereka tidak pernah berselisih faham dalam sesuatu perkara, walaupun Khadijah berusia 15 tahun lebih tua dari Muhammad Al-Amin yang ketika itu baru berusia 25 tahun. Walaupun demikian, sebagai manusia biasa mereka merasakan bahawa rumahtangga yang mereka bina dengan penuh pengertian dan saling faham memahami itu belum lagi sempurna selagi mereka masih belum memperolehi cahayamata sebagai penyeri rumahtangga. Mereka merindukan kehadiran anak-anak di rumah mereka bagi menyemarakkan lagi suasana di samping merupakan tali penghubung yang kuat antara sumi isteri. Allah Maha Pemurah mengetahui akan apa yang terguris di dalam hati kedua-dua hamba-Nya itu. Allah mengurniakan kepada mereka nikmat yang amat mereka harapkan. Mereka berasa amat gembira kerana mereka akan menimang cahayamata pertama mereka tidak lama lagi. Sementara itu, Khadijah telah mempersiapkan segala keperluan untuk menyambut kehadiran bayi pertama dari suami yang tercinta, Muhammad Al-Amin. Dengan izin Allah, tibalah hari yang dinanti-nantikan itu. Maka lahirlah seorang puteri yang comel mirip wajah Muhammad dan Khadijah. Sebaik sahaja Muhammad Al-Amin mengetahui bahawa puterinya telah selamat dilahirkan segera baginda menghampiri isterinya dan mengucup dahinya kemudian mendukung bayinya dan diribanya. Puteri sulungnya itu dinamakan Zainab oleh baginda. Sebagai tanda kesyukuran terhadap kurniaan Ilahi, mereka telah mengadakan kenduri dengan menyembelih beberapa ekor unta dan diberi kepada orang-orang miskin di kota Makkah. Mereka amat gembira menyambut kelahiran Bani Hasyim iaitu Zainab binti Muhammad Al-Amin. Kemudian, sebagaimana yang biasa berlaku di kalangan bangsawan Quraisy, Khadijah menyerahkan puterinya itu kepada ibu susuan yang telah ditempah sebelum kelahiran bayinya. Tiga tahun kemudian, lahirlah pula puteri Muhammad yang kedua, diberi nama Ruqiyyah. Dia juga diserahkan kepada ibu susuan sebagaimana kakaknya Zainab. Selepas itu, mereka dikurniakan lagi seorang anak yang dinamakan Ummi Kalsum. Lima tahun sebelum Muhammad dilantik menjadi Rasul, Allah telah mengurniakan seorang lagi puteri yang diberi nama Fatimah. Puteri keempat ini mendapat gelaran Al-Zahrah yang bermakna kembang mekar mewangi penghibur duka lara kedua orang tuanya. Bagaimanapun, ketika hamil pada kali yang kelima, Khadijah telah bermohon kepada Allah supaya mereka dikurniakan seorang anak lelaki untuk menyemarakkan lagi rumahtangga mereka. Allah Yang Maha Pengasih telah mengabulkan doa hamba-Nya itu. Mereka telah dikurniakan seorang anak lelaki yang tampan dan tidak ubah seperti ayahandanya. Putera ini telah dinamakan Qasim dengan nama gelarannya Tayyib yang bermaksud anak lelaki yang baik. Tidak berapa lama kemudian, setelah Muhammad dilantik menjadi Rasul oleh Allah, Khadijah telah hamil lagi dan melahirkan seorang putera yang dinamakan Abdullah dan diberi julukan Tahir yang bermaksud anak lelaki yang suci dan bersih. Walaubagaimanapun, Allah itu Maha Berkuasa, kedua-dua putera Rasulullah tidak sempat tampil dan berjuang bersama-sama ayahandanya untuk mengembang dan menyampaikan seruan Ilahi kepada manusia dan dunia. Kedua-duanya kembali ke sisi Ilahi ketika belum akil baligh lagi. Rasulullah dan Khadijah redha dengan pemergian kedua-dua anaknya itu kerana mereka sedar bahawa semuja itu berlaku atas kehendak Allah Yang Maha Berkuasa. Oleh itu, kesedihan yang menyerang kalbu diterima dengan hati yang sabar dalam menghadapi segala ujian dan cubaan dari Allah S.W.T. Bahkan baginda yakin sepenuhnya bahawa segala yang ditentukan oleh-Nya mempunyai hikmah yang tersembunyi dan tidak dapat diketahui oleh sesiapa. Setelah pemergian Qasim dan Abdullah, perhatian mereka lebih bertumpu kepada empat puterinya yang sudahpun melangkah ke alam remaja. Keempat-empat puteri jelita itu dididik dengan sempurna dan diasuh dengan akhlak yang mulia sehingga mereka menjadi anak-anak yang baik dan patuh kepada kedua-dua orang tuanya.

Khadijah Meninggalkan Rasulullah s.a.w

Peristiwa demi peristiwa yang dialami dan disaksikan oleh Khadijah memberi kesan ynag mendalam di dalam dirinya. Perkara ini nampak dari sikap dan amlannya yang rela berkorban semua harta yang dimilikinya demi kemajuan dan perjuangan Islam pada masa itu. Semua sedia maklum bahawa Khadijah tidak lagi secergas dahulu. Beliau mula uzur dan kadang-kadang juga jatuh sakit, tetapi semangat dan keyakinannya untuk turut sama dengan Rasulullah s.a.w tetap tidak berganjak. Saat demi saat berlalu, penyakit Khadijah pun kian tenat. Rasulullah s.a.w yakin bahawa Khadijah akan meninggalkannya. Namun demikian, Rasulullah s.a.w memberi khabar gembira kepada istrinya itu dengan menyatakan bahawa mereka akan bertemu di syurga. Dalam usia 65 tahun, Khadijah telah pergi ke pangkuan Ilahi, beliau wafat dengan keadaan yang tenang dan suaminya ada di sisinya. Peristiwa yang menyedihkan ini terjadi pada saat Rasulullah s.a.w mendapat cabaran hebat dari musuh-musuh Islam iaitu 3 tahun sebelum Rasulullah barhijrah ke Madinah Al-Munawwarah. Semenjak kepergian Khadijah, Rasulullah s.a.w merasakan jiwanya sangat kosong. Bukan sahaja rumah yang ditinggalkan menjadi sunyi malahan seluruh kota Makkah turut berkabung selepas pemergiannya. Rasulullah s.a.w bukan sahaja merasakan kehilangan seorang isteri yang setia, tetapi baginda juga telah kehilangan seorang pembantu dan pembela baginda dalam menjalankan tugas-tugas suci, iaitu menyeru manusia ke jalan Allah. Tidak lama selepas kewafatan Khadijah, Rasulullah s.a.w dikejutkan pula dengan wafatnya Abu Thalib, bapa saudaranya yang telah banyak memberi perlindungan terhadap Rasulullah s.a.w dalam usahanya memberi bimbingan kepada manusia untuk kembali ke jalan yang benar, berpandukan wahyu Ilahi yang diterimanya. Oleh yang demikian, tahun itu telah dinamakan sebagai tahun dukacita atau “Am Al-Huzni.”

Kisah kehidupan Rasulullah bersama A’ishah

Keperibadian

Aisyah adalah puteri Abdullah yang lebih dikenali sebagai Abu Bakar bin Usman. Manakala ibunya bernama Ummu Rumman Al-Kinaniyah. Bonda Aisyah ini adalah seorang wanita yang cerdik dan berjiwa besar. Bahkan beliau juga termasuk dalam golongan Al-Sabiqun Al-Awwalun (orang yang mula-mula memeluk Islam). Aisyah dilahirkan setahun selepas Rasulullah dilantik menjadi Rasul iaitu 12 tahun sebelum Hijrah. Beliau memiliki kulit yang cerah dan kemerah-merahan sehinggakan Rasulullah menggelarkannya dengan gelaran Humaira’ (kemerah-merahan). Beliau dibesarkan dalam keadaan orang tuanya sedang sibuk menyeru manusia ke jalan Allah bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. Di samping sebagai gadis yang cantik, lincah dan suka bergaul, Aisyah juga mewarisi sifat kedua-dua orang tuanya iaitu cerdik, pemurah, berani dan jujur. Sifat mulia ini telah sebati dalam dirinya sehingga ke akhir hayat beliau.

Rasulullah Berkahwin Dengan Aisyah

Sebulan setelah Rasulullah berkahwin dengan Saudah binti Zam’ah, Allah telah menyeru Rasul-Nya itu agar berkahwin dengan seorang gadis lincah dan masih kanak-kanak iaitu Aisyah. Kehendak ini telah Allah sampaikan melalui sebuah mimpi kepada Rasulullah. Dalam mimpi itu Rasulullah melihat Jibrail datang kepada baginda dengan membawa sehelai kain sutera yang padanya terdapat gambar Aisyah binti Abu Bakar Al-Siddiq, sambil mempertontonkan gambar tersebut kepada Rasulullah, Jibrail berkata: “Sesungguhnya wanita ini adalah isterimu di dunia dan di akhirat…” Mimpi tersebut datang berulang kali kepadanya sehinggalah baginda menyedari bahawa perkara itu adalah perintah dari Allah. Baginda sedar bahawa Allah Yang Maha Pengasih telah memilihkan untuknya seorang anak dara yang cantik dan berketurunan baik-baik. Oleh yang demikian, maka Rasulullah segera pergi ke rumah Abu Bakar untuk memberitahu kepada sahabatnya itu mengenai mimpi baginda. Sekaligus kedatangan baginda adalah untuk mengemukakan pinangan terhadap Aisyah yang ketika itu baru sahaja berusia 8 tahun. Mendengar akan berita itu Abu Bakar sangat terkejut, namun beliau berasa gembira apabila menerima pinangan Rasulullah itu, tetapi kerana Aisyah masih kecil lagi maka dengan lemah lembut Abu Bakar menjawab: “Ya Rasulullah…Aisyah masih kecil lagi, namun akan saya utuskan kepada engkau agar engkau dapat melihatnya…” Kemudian Rasulullah mohon diri dan kembali ke rumahnya, sementara Rasulullah masih duduk termenung memikirkan memikirkan pinangan Rasulullah itu. Beliau merasa sangat gembira sekali kerana mendapat kehormatan tinggi iaitu menjadi bapa mertua Rasulullah s.a.w. Abu Bakar telah menepati janjinya dengan Rasulullah iaitu mengutus puterinya Aisyah mengadap Rasulullah dengan membawa bekas yang berisi kurma dan ditutup rapi serta berpesan kepada puterinya itu: “Aisyah katakan kepada Rasulullah bahawa inilah yang telah Rasulullah sebutkan kepada ayahanda dan kalau Rasulullah merasakan patut semoga Allah merahmatinya.” Aisyah segera menuju ke rumah Rasulullah dan menyampaikan pesanan dari ayahandanya. Kemudian Rasulullah segera menjawab: “Kami telah menerimanya wahai Aisyah…” Aisyah tidak memahami maksud yang tersirat dalam kata-kata ayahandanya dan jawapan Rasulullah itu. Mendengar jawapan dari Rasulullah itu telah membuatkan Abu Bakar berasa sangat gembira sekali. Selepas bersetuju dan pinangan Rasulullah itu diterima oleh Abu Bakar, tidak lama kemudian berlangsunglah pernikahan antara Rasulullah dan Aisyah dengan maharnya 400 dirham. Perkahwinan itu berlangsung pada tahun ke 10 kenabian baginda. Aisyah pada ketika itu baru sahaja berusia 9 tahun. Bagaimanapun, Aisyah tidak tinggal bersama dengan Rasulullah tetapi masih tinggal bersama-sama ibu bapanya manakala Rasulullah pula tinggal bersama-sama dengan isterinya, Saudah.

Perasmian Perkahwinan Rasulullah Dengan Aisyah

Kehadiran keluarga Rasulullah dan keluarga Abu Bakar di Madinah membolehkan kedua-duanya menumpukan segala perhatian terhadap urusan dakwah Islam dan penyusunan masyarakat Islam di Madinah. Di antara tugas berat yang dilaksanakan oleh Rasulullah ialah mempersaudarakan orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar, di samping perlu berwaspada terhadap gangguan orang-orang Yahudi Madinah. Setelah semua tugas-tugas penting itu dapat diselesaikan oleh Rasulullah, maka Abu Bakar bertanya kepada Rasulullah perihal perkahwinannya dengan Aisyah. “Ya Rasulullah…Bilakah agaknya engkau akan bersama-sama dengan keluargamu”? Rasulullah teringat bahawa baginda telah meminang Aisyah, bahkan baginda juga telah bernikah dengannya tetapi mereka tidak tinggal serumah. Oleh yang demikian, Rasulullah telah datang ke rumah Abu Bakar untuk merasmikan perkahwinannya dengan Aisyah yang ketika itu telah berusia 13 tahun. Setelah melangsungkan acara perasmian perkahwinan itu maka Aisyah berpindah ke rumah baru iaitu sebuah rumah sederhana ynag telah dibina Rasulullah bersebelahan dengan masjid di Madinah berdekatan dengan rumah Saudah binti Zam’ah dan rumah kedua orang puteri baginda. Rumah mereka itu dibina oleh Rasulullah dengan menggunakan batang-batang pelepah dan daun kurma juga batu-bata. Katil mereka pula hanya dari kulit binatang yang sudah disamak dan dibentangkan di atas lantai.

Cinta Dan Cemburu Aisyah

Aisyah telah memulakan hidup barunya bersama Rasulullah s.a.w. Rumahtanggga mereka dipenihu sinar kebahagian, sementara itu keperibadiannya semakin matang dan Aisyah bertambah dewasa. Ketabahan dan kesabaran Rasulullah dalam mendidik dan membimbing Aisyah membawa hasil yang amat gemilang. Aisyah telah membesar dengan keperibadian yang mulia dan berjiwa gigih serta tekun mendalami hokum-hukum agama. Hal ini membuat cinta Rasulullah terhadap Aisyah semakin mencurah-curah. Rumahtangga mereka berjalan dengan aman dan damai, tiada satu perkara pun yang boleh mengeruhkan kedamaian dalam rumahtangga mereka kecuali tersemat perasaan cemburu Aisyah terhadap Khadijah r.a sungguhpun Khadijah telah tiada. Kecemburuan Aisyah terhadap Khadijah adalah kerana Rasulullah selalu menyebut-nyebut nama Khadijah. Perkara ini berlaku apabila Rasulullah berdepan dengan masalah berat dalam tugasnya sebagai Rasul. Ini adalah kerana sewaktu Khadijah masih hidup, beliau akan membantu dan memberi jalan penyelesaian kepada Rasulullah, tetapi bersama dengan Aisyah hal seperti itu belum baginda perolehi. Walaubagaimanapun, Rasulullah amat menyayangi Aisyah. Baginda merasakan apa yang dirasakan oleh isterinya itu. Namun ada ketikanya Rasulullah tidak dapat mengelak daripad menyebut nama Khadijah, umpamanya bagind berkata: “Khadijah dahulu mewasiatkan begini atau begitu…” Apabila Rasulullah berkata begitu, Aisyah akan marah dan berkata: “Khadijah…Khadijah…Seolah-olah tidak ada perempuan lain di dunia ini selain Khadijah…” katanya bersungut. Apabila terjadi hal yang sedemikian, Aisyah akan mengadu perkara itu kepada ibunya. Kemudian ibunya akan membawa Aisyah berjumpa dengan Rasulullah dan berkata: “Wahai Rasulullah…Sesungguhnya Aisyah masih muda dan engkaulah yang paling berhak dalam mengajar dan memujuknya.” Mendengar kata ibu mertuanya itu, Rasulullah menoleh kepada Aisyah dan berkata: “Bukankah kamu yang mengatakan seolah-olah tidak ada perempuan lain di dunia ini selain Khadijah?” Ujar Rasulullah. “Apakah masih diingat perempuan yang sudah tiada itu, sedangkan Allah telah menggantikan dengan yang lebih baik…?” Jawab Aisyah. Apabila Aisyah berkata demikian, maka secara terus terang dan jelas Rasulullah berkata: “Demi Allah…Wahai Aisyah…Belum ada ganti yang lebih baik dari Khadijah. Dia telah beriman kepadaku ketika orang lain mengingkariku. Dia juga telah menyara hidupku di saat orang lain memulaukanku. Dia telah memberikanku zuriat yang tidak ku perolehi dari wanita lain.” Ujar Rasulullah. Apabila Rasulullah berkata demikian, Aisyah diam dan tidak berkata walau sepatahpun. Dia sedar bahawa pengorbanannya terhadap Rasulullah dan Islam tidak setanding perngorbanan Khadijah. Selain daripada cemburu terhadap Khadijah, Aisyah juga cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah yang duduk berhampiran dengannya. Rasa cemburu ini timbul kerana Rasulullah gemar kepad makanan yang bersih dan diatur rapi dan keadaan ini adalah menjadi amalan para isteri Rasulullah yang lain. Pada suatu ketika, Rasulullah pernah dihidangkan madu oleh isterinya yang bernama Zainab binti Jahsyi, salah seorang isteri Rasulullah yang paling cantik wajahnya dan Rasulullah memang gemar akan hidangan itu. Oleh yang demikian, Aisyah merasa cemburu apabila dilihatnya Rasulullah amat menyenangi hidangan Zainab itu. Bagi melepaskan sakit hatinya, Aisyah telah berpakat dengan Hafsah binti Umar bagi memperkecilkan hidangan Zainab itu. Hal ini diakui sendiri oleh Aisyah dalam ungkapannya: “Saya bersubahat dengan Hafsah iaitu apabila sahabat Rasulullah mendatangi salah seorang dari kami, maka kami akan mangatakan kepadanya: “Apakah engkau makan maghafir (sejenis makanan yang melekat dan manis tetapi baunya tidak enak), sedangkan Rasulullah benci akan bau itu.” Apabila Rasulullah pulang ke rumah Aisyah, Aisyah langsung berkata: “ Bau engkau seperti bau maghafir, apakah engkau telah makan maghafir ya Rasulullah…?” Ujar Aisyah. “Tidak…Saya diberi makan madu oleh Zainab…” Jawab Rasulullah. Kemudian Rasulullah pergi pula ke rumah Hafsah, sebaik sahaja sampai di situ Hafsah langsung bertanya soalan yang sama dan baginda juga menjawab dengan jawapan yang sama. Rasulullah geram dengan tindakan isterinya itu. Ekoran itu baginda tidak lagi memakan madu yang dihidangkan oleh Zainab. Selanjutnya Aisyah pernah bercerita bagaimana cemburunya terhadap isteri Rasulullah yang bernama Ummu Salamah. Melihat perhubungan kedua-dua suami isteri yang mesra dan harmoni itu, Aisyah tidak dapat menahan hatinya. Pada suatu hari Rasulullah telah datang ke bilik Aisyah lalu beliau bertanya kepada baginda: “Ke manakah engkau sepanjang hari ini, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Humaira’, bukankah hari ini adalah giliran Ummu Salamah?” Aisyah bertanya lagi: “Apakah yang engkau perbuat di sana?” Rasulullah tersenyum. Aisyah berkata lagi: “Sekiranya engkau diminta memilih antara bunga yang belum lagi disentuh dan bunga yang sudah disentuh, manakah bunga yang engkau akan pilih?” Rasulullah menjawab: “Yang belum disentuh.” Aisyah berkata lagi: “Saya berbeza dari semua isteri kamu, mereka semua telah pernah bersuami tetapi saya tidak.” Rasulullah hanya tersenyum mendengar ungkapan Aisyah itu. Oleh yang demikian dapat dikatakan bahawa kehidupan rumahtangga Rasulullah s.a.w dengan Aisyah r.a dipenuhi dengan suasana bahagia dan tenteram. Di samping sebagai isteri yang setia dan cinta kepada suaminya.

Fitnah Punca Derita

Sememangnya telah menjadi sunnah Allah bahawa setiap hamba-Nya akan menerima ujian dari-Nya. Hal ini juga turut diterima oleh Aisyah. Ini adalah ujian paling berat yang pernah dihadapi oleh Aisyah selepas enam tahun beliau menjadi isteri Rasulullah s.a.w. Beliau telah difitnah berkhalwat dengan salah seorang pejuang Islam yang bernama Syafwan bin Mu’tal, berita ini telah disebar luas oleh Abdullah bin Ubaiy seorang Munafiq keturunan Yahudi. Peristiwa ini berlaku apabila Aisyah tertinggal sewaktu Rasulullah dan pengikutnya hendak menuju ke medan perang. Semua tentera Islam telah berangkat tanpa menyedari bahawa Aisyah telah tertinggal. Namun di belakang pasukan yang telah berjalan itu, ada salah seorang pejuang Islam yang bernama Syafwan bin Mu’tal Al-Sulami yang diarahkan berjalan di belakang untuk memastikan tiada musuh yang menyerang dari belakang. Syafwan dan sahabatnya Al-Zakwani telah melihat Aisyah dan membawa Aisyah bersama-sama mereka sehinggalah mereka bertemu dengan pasukan induk. Berpunca dari peristiwa itulah berkembangnya desas-desus, berita karut dan fitnah yang ditunjukkan kepada Aisyah dan Syafwan yang kononnya mereka telah berkhalwat. Ketika tiba di Madinah, Aisyah telah menderita sakit selama lebih kurang sebulan. Sepanjang itu, beliau juga dapat merasakan bahawa keramahan dan kelembutan Rasulullah terhadapnya tidak seperti sebelumnya. Setelah penyakit beliau berkurangan, Ummu Mistah binti Ruhmin telah menceritakan segala yang telah dituduhkan oleh Ahlu’l-Ifki (orang-orangn yang telah menyebarkan fitnah). Semenjak mendengar berita itu, penyakit Aisyah telah bertambah teruk sehinggakan beliau meminta izin dari Rasulullah untuk pergi ke rumah ibunya. Namun Rasulullah tidak menerima fitnah itu tanpa menyelidikinya. Baginda terlebih dahulu telah menyelidiki dan meminta pendapat para sahabat. Para sahabat tidak percaya dengan fitnah yang dilemparkan kepada Aisyah kerana mereka percaya bahawa Aisyah dari keturunan yang baik-baik dan pastinya tidak akan melakukan perkara yang merosakkan nama baiknya sendiri. Selepas mendengar pendapat dari semua sahabat, Rasulullah sentiasa menanti turunnya wahyu dengan harapan semuanya itu akan dijelaskan oleh Allah kepadanya. Dalam menanti harapan itu, Rasulullah telah berkunjung ke rumah Aisyah yang pada waktu itu sedang tinggal bersama-sama orang tuanya. Ketika itu Rasulullah telah bersabda: “Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku berita buruk itu. Maka jika engkau memang bersih, Allah pasti membersihkan engkau. Tetapi jika engkau telah berdosa, mohon ampunlah kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya. Kerana apabila seseorang itu telah mengakui dosanya dan bertaubat pasti Allah akan menerima taubatnya.” Ucapan Rasulullah itu umpama petir yang menyambar di hati Aisyah. Bagaimanapun, Aisyah tidak mampu untuk menjawab ucapan Rasulullah itu. Beliau meminta ayahnya sendiri untuk menjawab ucapan suaminya itu, malangnya ayahnya sendiri tidak dapat memberi jawapan kepada Rasulullah. Kemudian Aisyah meminta ibunya pula untuk menjawab, namun ibunya juga tidak dapat berkata-kata. Aisyah amat kecewa dengan tindakan kedua-dua orang tuanya itu, air matanya membasahi pipinya dan dalam keadaan teresak-esak itu beliau telah berpaling mengadap Rasulullah dan dengan berani beliau berkata: “Demi Allah! Saya tidak akan bertaubat tentang apa yang engkau katakan itu, wahai Rasulullah…! Demi Allah, sekiranya aku mengakui apa yang telah diperkatakan orang kepadaku, namun Allah tahu aku suci. Tapi kalau aku menafikannya, kamu semua tidak akan percaya…! Namun aku hanya akan mengatakan sebagaimana yang diucapkan oleh Nabi Yaaqub a.s iaitu saya akan bersabar kerana kesabaran itu Adalah sesuatu yang baikdan Allah jualah tempat memohon bantuan dan pertolongan untuk mengatasi sesuatu yang dikatakan kepadaku.” Ujar Aisyah. Selepas mendengar kata-kata Aisyah itu Rasulullah, Abu Bakar dan orang lain yang sedia ada belum berangkat dari kedudukan mereka. Ketika itu jugalah Allah telah menurunkan wahyu kepada Rasulullah s.a.w. Selepas itu Rasulullah telah membuka matanya sambil tersenyum baginda berkata: “Bergembiralah wahai Aisyah. Allah telah menurunkan wahyunya dan membersihkan engkau dari tuduhan tersebut.” Mendengar ungkapan Rasulullah itu, Ummu Rumman meminta Aisyah berdiri dan menghampiri suaminya itu. Tetapi Aisyah telah menolak dan berkata: “Demi Allah…! Saya tidak mahu berdiri kepadanya dan tidak akan memuji selain daripada Allah yang telah menurunkan pernyataan bagi membersihkan diriku.” Ujarnya. Sebentar kemudian Rasulullah membacakan firman Allah yang maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong (Al-Ifk) itu adalah dari golongan kamu juga, janganlah kamu menyangka berita bohong itu buruk bagi kamu, tetapi ia adalah baik untuk kamu. Setiap mereka akan mendapat balasan dari dosa yang mereka lakukan. Sesiapa diantara mereka yang mengambil terbesar dalam menyebarkan berita bohong itu akan dapat baginya azab yang pedih. Mengapa ketika mereka mendengar berita bohong itu, orang-orang mukmin lelaki dan perempuan tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri dan tidak berkata: “Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.” Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu. Maka oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi, mereka itulah pada sisi Allah adalah orang-orang pembohong. Sekiranya tidak ada kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu di dunia dan di akhirat, nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar kerana kamu telah bersubahat atas berita bohong itu. Ketika kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu menganggapnya sebagai suatu perkara yang ringan saja, padahal ia adalah perkara yang besar di sisi Allah. Dan kenapa kamu tidak berkata ketika mendengar berita bohong itu, sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini. Maha Suci Allah ini adalah dusta yang besar. Allah memperingatkan kamu agar jangan kembali melakukan hal seperti itu selama-lamanyajika kalian benar-benar orang yang beriman. Dan Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar berita bohong itu tersiar di kalangan orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui. Dan sekiranya bukanlah Allah Maha Penyatun dan Maha Penyayang nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar.” (An-Nur: 11-20) Setelah membacakan ayat tersebut, Rasulullah pergi pula ke masjid dan membacakannya kepada orang ramai. Rasulullah bertindak tegas kepada sesiapa sahaja yang menyebarkan berita tersebut, tindakan itu berdasarkan hukum yang ditetapkan dalam Islam, sebagaimana yang termaktub dalam surah An-Nur ayat empat yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali sebatan dan jangan kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya dan mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (An-Nur: 4) Kini peribadi Aisyah telah dibersihkan oleh Allah, dirinya telah terlepas dari tuduhan berkhalwat dan dia kembali ke rumah Rasulullah. Berakhirlah sudah peristiwa yang memalukan dan menyedihkan bagi keluarga Rasulullah yang mulia. Kehidupan Rasulullah kembali seperti sediakala, Aisyah telah kembali bergiat membantu Rasulullah dalam berbagai tugas dalam menyampaikan risalah Ilahi kepada seluruh umat.

Di Sebalik Kasih Sayang Rasulullah

Seluruh kaum muslim telah mengetahui betapa Rasulullah sangat mencintai Aisyah. Oleh yang demikian, apabila ada orang yang hendak memberi hadiah kepada Rasulullah, maka akan ditunggunya hingga tiba giliran Aisyah. Ummu Salamah dan para isterinya yang lain menyedari akan kepincangan itu. Mereka telah meminta Ummu Salamah agar merundingkan perkara ini kepada Rasulullah, salah seorang daripada mereka berkata: “Wahai Ummu Salamah…Demi Allah…Orang ramai amat memberikan perhatian apabila tiba giliran Aisyah saja. Agaknya eloklah engkau menyampaikan cadangan kepada Rasulullah bagi memberitahu kepada orang ramai agar apabila hendak memberi hadiah janganlah mengira sama ada Rasulullah berada di rumah siapa.” Pinta mereka. Ummu Salamah bersetuju dengan cadangan itu, maka apabila Rasulullah berada di rumahnya, usul itu disampaikan kepada Rasulullah tetapi malangnya Rasulullah hanya diam saja. Namun Ummu Salamah tidak berputus asa, pada giliran yang berikutnya cadangan itu dikemukakannya semula kepada Rasulullah, namun Rasulullah masih belum memberikan persetujuan kepada cadangan tersebut. Tetapi Ummu Salamah tetap tidak berputus asa sehinggalah Rasulullah memberi tanggapannya, baginda bersabda: “Janganlah kalian menyakiti hatiku kerana Aisyah. Demi Allah! Tidak pernah aku menerima wahyu ketika aku berada di dalam selimut seorang wanita, kecuali ketika aku bersama Aisyah…” Ummu Salamah terkejut mendengar jawapan Rasulullah itu, kerana dia tidak menyangka yang Rasulullah akan memberi jawapan sebegitu dengan tegas dan menyatakan kedudukan Aisyah sekali di sisi baginda. Maka dengan sedikit menyesal Ummu Salamah berkata: “Aku bertaubat kepada Allah….Aku tidak akan menyakiti hatimu lagi, Ya Rasulullah….” Jawapan Rasulullah itu telah Ummu Salamah sampaikan kepada para isteri Rasulullah yang lain. Setelah melalui perbincangan singkat, mereka memutuskan untuk meminta bantuan Fatimah, puteri yang amat dikasihi oleh Rasulullah untuk meminta keadilan dari Rasulullah. Fatimah telah bersetuju untuk membantu para ibu tirinya itu. Kemudian Fatimah pergi menjumpai Rasulullah yang ketika itu berada di rumah Aisyah. Fatimah berkata: “Ya Rasulullah! Saya diutus oleh para isterimu untuk memohon keadilan.” Ujar Fatimah. Rasulullah pula bertanya: “Wahai anakku, apakah engkau mencintai apa yang aku cintai?” Mendengar akan pertanyaan itu dengan pantas Fatimah mengangguk. Rasulullah berkata lagi: “Kalau begitu cintailah Aisyah.” Setelah mendapat jawapan dari Rasulullah, Fatimah segera memohon diri dan kembali ke rumahnya. Selepas itu dia melaporkan hasil pertemuannya dengan Rasulullah kepada para ibu tirinya. Namun mereka tidak berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan oleh Fatimah itu dan memohon agar Fatimah berbincang sekali lagi dengan Rasulullah. Tetapi Fatimah menegaskan bahawa dia tidak akan sekali-kali membincangkan perkara tersebut kepada Rasulullah lagi. Demikianlah kedudukan Aisyah di antara para isteri Rasulullah yang lain. Hal ini adalah kerana beberapa sebab, antara lain ialah kerana Aisyah adalah satu-satunya isteri Rasulullah yang dikahwininya sewaktu masih gadis dan Aisyah jugalah satu-satunya isteri Rasulullah yang dikahwininya berdasarkan wahyu dari Allah s.w.t. Sedangkan isteri baginda yang lain dikahwininya dalam keadaan janda dan atas dasar perikemanusiaan. Ini kerana pada masa itu wanita yang kematian suami atau diceraikan suami akan dipandang rendah oleh masyarakat Arab. Ini bermakna keputusan Rasulullah untuk mengahwini mereka adalah kerana mahu mengangkat martabat kaum wanita pada masa itu bahkan sehingga ke hari ini.



Aisyah r.a Wafat

Setelah Rasulullah s.a.w wafat, Aisyah telah menjalani masa tuanya dengan kegiatan-kegiatan dakwah dan kemajuan Islam. Bahkan beliau dipandang sebagai guru dan tempat bertanya oleh para sahabat dan umat Islam ketika itu. Namun demikian, Allah Yang Maha Berkuasa telah menyatakan kehendak-Nya untuk memanggil hamba-Nya itu kembali ke sisi-Nya. Pada bulan Ramadhan tahun 58 Hijrah, Aisyah telah jatuh sakit tetapi beliau tetap berpuasa. Berita duka ini telah tersebar dengan cepatnya di kalangan umat Islam sehingga berduyun-duyun mereka pergi ke rumah Aisyah untuk menziarahi beliau. Salah satu pesan Aisyah sebelum beliau kembali memenuhi panggilan Ilahi ialah agar beliau dikebumikan pada waktu malam di Padang Baqi’. Namun beliau tidak pula meminta untuk dikebumikan di samping makam Rasulullah, Abu Bakar atau Umar iaitu di rumah beliau sendiri. Akhirnya pada hari Isnin malam Selasa 17 Ramadhan tahun Hijrah, beliau telah pergi mengadap Ilahi dengan tenangnya ketika beliau berusia 65 tahun. Seperti wasiat beliau, maka pada malam itu juga jenazah beliau dikebumikan di Padang Baqi’ setelah umat Islam selesai menunaikan solat witir. Jenazah Aisyah telah disolatkan oleh ramai kaum muslimin yang terdiri daripada kaum Ansar dan Kaum Muhajirin. Abu Hurairah telah bertindak sebagai imam. Beliau adalah salah seorang daripada sahabat Rasulullah yang amat setia dan banyak menerima hadis dari Rasulullah s.a.w. Antara yang turut hadir sama di perkuburan itu ialah Abdullah bin Zubair, Urwah bin Zubair, Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar, Abdullah bin Muhammad bin Abu Bakar dan Abdullah bin Abdul Rahman bin Abu Bakar. Kesemua mereka ini adalah tergolong dalam keluarga Aisyah r.a.

Jumaat, 6 Januari 2012

Kisah anak Abu Jahal yang syahid

Abu Ishaw As-Ayabi'i meriwayatkan, ketika Rasulullah SAW berjaya menaklukkan kota Mekah, maka Ikrimah berkata: Aku tidak akan tinggal di tempat ini!"

Setelah berkata demikian, dia pun pergi berlayar dan memerintahkan supaya isterinya membantunya. Akan tetapi isterinya berkata: "Hendak kemana kamu wahai pemimpin pemuda Quraisy?" Apakah kamu akan pergi kesuatu tempat yang tidak kamu ketahui?"

Ikrimah pun melangkahkan kakinya tanpa sedikitpun memperhatikan perkataan isterinya.

Ketika Rasulullah SAW bersama para sahabat lainnya telah berjaya menaklukkan kota Mekah, maka kepada Rasulullah isteri Ikrimah berkata: "Ya Rasulullah, sesungguhnya Ikrimah telah melarikan diri ke negeri Yaman kerana ia takut kalau-kalau kamu akan membunuhnya. Justeru itu aku memohon kepadamu supaya engkau berkenan menjamin keselamatannya."

Rasulullah SAW menjawab: "Dia akan berada dalam keadaan aman!"Mendengar jawapan itu, maka isteri Ikrimah memohon diri dan pergi untuk mencari suaminya.

Akhirnya dia berjaya menemuinya di tepi pantai yang berada di Tihamah. Ketika Ikrimah menaiki kapal, maka orang yang mengemudikan kapal tersebut berkata kepadanya: "Wahai Ikrimah, ikhlaskanlah saja!"

Ikrimah bertanya: "Apakah yang harus aku ikhlaskan?"
"Ikhlaskanlah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan akuilah bahawa
Muhammad adalah utusan Allah!" Kata pengemudi kapal itu.
Ikrimah menjawab: "Tidak, kerana aku melarikan diri adalah kerana
ucapan itu."


Selepas itu datanglah isterinya dan berkata: "Wahai Ikrimah putera bapa saudaraku, aku datang menemuimu membawa pesan dari orang yang paling utama, dari manusia yang paling mulia dan manusia yang paling baik. Aku memohon supaya engkau jangan menghancurkan dirimu sendiri. Aku telah memohonkan jaminan keselamatan untukmu kepada Rasulullah SAW."

Kepada isterinya Ikrimah bertanya: "Benarkah apa yang telah engkau lakukan itu?"

Isterinya menjawab: "Benar, aku telah berbicara dengan baginda dan baginda pun akan memberikan jaminan keselamatan atas dirimu."

Apabila mendengar berita gembira dari isterinya itu, pada malam harinya Ikrimah bermaksud untuk melakukan persetubuhan dengan isterinya, akan tetapi isterinya menolaknya sambil berkata: "Engkau orang kafir, sedangkan aku orang Muslim."

Kepada isterinya Ikrimah berkata: "Penolakan kamu itu adalah merupakan suatu masalah besar bagi diriku."

Tidak lama selepas Ikrimah bertemu dengan isterinya itu, mereka pun pulang kembali, setelah mendengar berita bahawa Ikrimah sudah pulang, maka Rasulullah SAW segera ingin menemuinya. Kerana rasa kegembiraan yang tidak terkira, sehingga membuatkan Rasulullah SAW terlupa memakai serbannya.

Setelah bertemu dengan Ikrimah, baginda pun duduk. Ketika itu Ikrimah berserta dengan isterinya berada di hadapan Rasulullah SAW Ikrimah lalu berkata:

"Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah."

Mendengar ucapan Ikrimah itu, Rasulullah SAW sangat merasa gembira, selanjutnya Ikrimah kembali berkata: "Wahai Rasulullah, ajarkanlah sesuatu yang baik yang harus aku ucapkan."

Rasulullah SAW menjawab: "Ucapkanlah bahwa sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.
Ikrimah kembali bertanya: "Selepas itu apa lagi?" Rasulullah
menjawab: "Ucapkanlah sekali lagi, aku bersaksi bahwa sesungguhnya
tidak ada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahwa sesungguhnya
Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya." Ikrimah pun mengucapkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW selepas itu baginda
bersabda: "Jika sekiranya pada hari ini kamu meminta kepadaku sesuatu sebagaimana yang telah aku berikan kepada orang lain, niscaya aku
akan mengabulkannya."

Ikrimah berkata: "Aku memohon kepadamu ya Rasulullah, supaya engkau
berkenan memohonkan ampunan untukku kepada Allah atas setiap
permusuhan yang pernah aku lakukan terhadap dirimu, setiap perjalanan
yang aku lalui untuk menyerangmu, setiap yang aku gunakan untuk
melawanmu dan setiap perkataan kotor yang aku katakan di hadapan atau
di belakangmu."

Maka Rasulullah SAW pun berdoa: "Ya Allah, ampunilah dosanya atas setiap permusuhan yang pernah dilakukannya untuk bermusuh denganku, setiap langkah perjalanan yang dilaluinya untuk menyerangku yang tujuannya untuk memadamkan cahaya-Mu dan ampunilah dosanya atas segala sesuatu yang pernah dilakukannya baik secara langsung berhadapan denganku mahupun tidak."

Mendengar doa yang dimohon oleh Rasulullah SAW itu, alangkah senangnya hati Ikrimah, maka ketika itu juga ia berkata: "Ya Rasulullah! Aku bersumpah demi Allah, aku tidak akan membiarkan satu dinar pun belanja yang pernah aku gunakan untuk melawan agama Allah, melainkan akan aku ganti berlipat ganda demi membela agama-Nya. Begitu juga setiap perjuangan yang dahulu aku lakukan untuk melawan agama Allah, akan aku ganti dengan perjuangan yang berlipat ganda demi membela agama-Nya, aku akan ikut berperang dan berjuang sampai ke titisan darah yang terakhir."

Demikianlah keadaan Ikrimah, setelah ia memeluk Islam, ia sentiasa ikut dalam peperangan hingga akhirnya ia terbunuh sebagai syahid. Semoga Allah berkenan melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya kepada Ikrimah.

Dalam riwayat yang lain pula diceritakan, bahawa ketika terjadinya Perang Yarmuk, Ikrimah juga ikut serta berperang sebagai pasukan perang yang berjalan kaki, pada waktu itu Khalid bin Walid mengatakan:

"Jangan kamu lakukan hal itu, kerana bahaya yang akan menimpamu adalah lebih besar!" Ikrimah menjawab: "Kerana kamu wahai Khalid telah terlebih dahulu ikut berperang bersama Rasalullah SAW, maka biarlah hal ini aku lakukan!"

Ikrimah tetap meneruskan niatnya itu, hingga akhirnya ia gugur di medan perang. Pada waktu Ikrimah gugur, ternyata di tubuhnya terdapat lebih kurang tujuh puluh luka bekas tikaman pedang, tombak dan anak panah.

Abdullah bin Mas'ud pula berkata: Di antara orang-orang yang termasuk dalam barisan Perang Yarmuk adalah Haris bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amar.

Di saat-saat kematian mereka, ada seorang sahabat yang memberinya air minum, akan tetapi mereka menolaknya. Setiap kali air itu akan diberikan kepada salah seorang dari mereka yang bertiga orang itu, maka masing-masing mereka berkata: "Berikan saja air itu kepada sahabat di sebelahku."

Demikianlah keadaan mereka seterusnya, sehingga akhirnya mereka bertiga menghembuskan nafas yang terakhir dalam keadaan belum sempat meminum air itu.

Dalam riwayat yang lain pula ditambahkan: "Sebenarnya Ikrimah bermaksud untuk meminum air tersebut, akan tetapi pada waktu ia akan meminumnya, ia melihat ke arah Suhail dan Suhail pun melihat ke arahnya pula, maka Ikrimah berkata:

"Berikanlah saja air minum ini kepadanya, barangkali ia lebih memerlukannya daripadaku." Suhail pula melihat kepada Haris, begitu juga Haris melihat kepadanya.

Akhirnya Suhail berkata: "Berikanlah air minum ini kepada siapa saja, barangkali sahabat-sahabatku itu lebih memerlukannya daripadaku."

Begitulah keadaan mereka, sehingga air tersebut tidak seorangpun di antara mereka yang dapat meminumnya, sehingga mati syahid semuanya. Semoga Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya kepada mereka bertiga.

Lokasi Bahtera Nabi Nuh Bukan Di Pergunungan Ararat Turki

Penyelidikkan bahtera nuh semuanya dilakukan oleh sarjana barat berdasarkan bible. Bible menyebut Ararat tetapi al-Quran menyebut Judi. Adakah mereka gunung yg sama ?

Contoh kayu yg diambil drpd bahtera di Ararat baru berusia 1400 tahun dan pendedahan saintis HongKong menyatakan bahtera Nuh yg ditemui di Turki tersebut adalah palsu.

Kenapa saintis barat beriya–riya mahu mengajak masyarakat dunia mempercayai yg terdapat di Turki itu Bahtera Nuh sedangkan pada waktu yg sama mereka masih mencari di tempat lain bahtera yg sebenar?

Hal yg sama berlaku kepada lokasi sebenar Mt Sinai. Jabal al-Lawz merupakan lokasi sebenar Mount Sinai terletak di daerah Midian Arab Saudi, disembunyikan dari pengetahuan umum. Kenapa kedua tempat tersebut perlu disembunyikan dari pengetahuan umum terutamanya Islam ?

Kerana kedua tempat di atas berkait rapat dengan masa depan iaitu dengan kebangkitan Islam.

- Mt Sinai merupakan tempat dimana Nabi Isa membawa manusia berlindung dari kejahatan Yaajud Maajud. Mereka berfikir dengan menyembunyikan lokasi sebenar Mt Sinai maka Yaajud Maajud akan berjaya membunuh semua muslimin termasuk Nabi Isa akibat melarikan diri di tempat yg bukan Sinai sebenarnya.

- Tempat dimana mendaratnya bahtera Nuh, Bukit Judi merupakan tempat pentunjuk arah yg akan bangkitnya seorang Pejuang Islam di akhir zaman dan tempat yg banyak menyimpan khazanah galian untuk bekalan umat Islam memerintah dunia kemudian hari.

Malangnya tiada sarjana Islam mengkaji lokasi sebenar Bukit Judi tersebut sedangkan semua sumber adalah berdasarkan sarjana Barat yg penuh tipu helah. Mereka sudah membuat kajian sejak tahun 1300 lagi. Mereka sudah ada jawapannya tetapi mereka menyembunyikan fakta sebenar.

Kajian boleh dimulakan dengan mengkaji persoalan berikut :

1. Mengapakah Rasulullah menyuruh keturunannya (Bani Hashim) pergi ketempat yg bernama Samudra (Satu tempat di daerah Nusantara) untuk mengelakkan mereka di bunuh/buru puak kafir.

2.Apakah motif Barat yg di ketuai British melakukan penjajahan di Nusantara. Mereka berbohong di atas alasan ekonomi tetapi sebenarnya :

2.1 mereka mencari dan membunuh keturunan Bani Hashim/Tamim di seluruh Nusantara yg kelak akan mengetuai gerakan Islam se-dunia di dalam perang dunia 3. Sebab itulah British bersungguh-sungguh memerangi pejuang seperti Datuk MaharajaLela, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut dan membunuh ribuan alim ulama di seluruh Nusantara dan sesiapa sahaja yg disyaki Bani Hashim/Tamim.

2.2 mereka cuba mencari kedudukan sebenar Bukit Judi yg merupakan pentunjuk yg jelas tempat yg akan lahirnya pejuang Islam. Tetapi mereka tertipu dgn menganggap Mount OPHIR (Gunung Ledang) sebagai Bukit Judi.

3.Mengapa semua Kerajaan Khalifah Islam berjaya di musnahkan dan berjaya di tukarkan sepenuhnya kepada sistem Republik (sistem Dajjal) termasuk Othmaniah oleh British/Barat kecuali Nusantara (Brunei/Malaysia). Sistem khalifah di Arab Saudi pun, khalifah telah diganti dgn Raja Saud yg bukan dari keturunan Bani Hashim dgn menidakkan Syarif Mekah.

4.UMNO-parti peninggalan British, sejak dari zaman Mahathir bercita-cita mahu bertukar ke sistem Republik tetapi hanya setakat berjaya mengurangkan kuasa Sultan dan kini Rosmah/Najib mahu mencuba lagi dgn membiasakan masyarakat mengelarkan dirinya first lady. Tetapi ketentuan Tuhan, mereka akan gagal.

5.Ketika era Dinasti Ming – mengapa maharaja menyerah surat watikah kepada cucunya untuk sebarkan Islam di satu tempat di wilayah Nusantara.

6.Semenanjung Melaka ( nama sebenar Tanah Melayu sebelum ditukar British, dan Malaysia oleh Amerika) kaya dgn galian digelar semenanjung emas merupakan tempat Nabi Sulaiman dan Iskandar Zulkarnain datang mencari emas dan galian terutama bijih besi. Bukankah khazanah ini penting untuk sesuatu pemerintahan.

7.Hadis-hadis perihal kebangkitan pemuda dari timur (Afghanistan atau Nusantara)

A.Daripada Ibnu Umar, bahawa Rasulullah SAW sambil memegang tangan Sayidina Ali; baginda berkata: “Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang memenuhi bumi ini dengan keadilan. Maka apabila kamu menyakini demikian itu hendaklah bersama Pemuda Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan dialah pemegang panji-panji Al Mahdi.” (Hadis riwayat At Tabrani)

B. Dari Tsauban r.a dia berkata, telah bersabda Rasulullah SAW, akan datang Panji-Panji Hitam (kekuasaan) dari sebelah Timur, seolah-olah hati mereka (pendukung-pendukung) umpama kepingan-kepingan besi (jiwa berani). Barangsiapa mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbaiklah kepada mereka sekalipun merangkak di atas salji. (Dikeluarkan oleh Al Hafiz Abu Naim)

Kenapa tidak mahu mengkaji bahtera Nuh dari sudut Islam.?Bukankah Jibrail diutuskan utk mengajar Nabi Nuh membina kapal?Bukankah Nabi Nuh disuruh memotong 124000 keping papan dan Jibrail akan menulis nama nama nabi bermula dari Nabi Adam hingga ke Nabi Muhammad? Begitu juga dengan paku paku yg terdapat nama nama nabi? Adakah bahtera Nuh Ararat terdapat ciri-ciri yg tersebut?

3:54. Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya. (Surat Al – Imron Ayat 51 S.d 60)