Selasa, 30 Oktober 2012

Rasulullah adalah manusia, tetapi bukan seperti manusia biasa

Sumber dipetik dari Ustaz Zaman-berita harian

MUHAMMAD SAW adalah seorang insan terpilih daripada kalangan Bani Hashim untuk menyampaikan risalah rabbaniah kepada umat manusia. Dilahirkan daripada sulbi Abdullah dan Aminah di kota suci Makkah ketika perhambaan kepada manusia semakin memuncak.

Tiada nas sahih dan nyata bagi ulama dan hadis bahawa Baginda SAW adalah makhluk yang mula-mula dicipta di muka bumi ini. Ada pendapat yang menyatakan ciptaan terawal adalah qalam. Ada yang menyatakan ciptaan terawal adalah akal.

Namun, daripada riwayat kelahiran Baginda SAW menyebut bahawa Allah SWT menciptakan secebis daripada nur-Nya dan berkata: ‘Jadikanlah kamu sebagai Muhammad’, dan itulah ciptaan terawal yang mana kerana Baginda, Allah mencipta langit dan bumi sehingga ada yang berselawat ‘Selawat dan salam buatmu (Muhammad SAW) wahai orang yang mula-mula diciptakan’.

Bagaimanapun dalil di atas tidak dapat dijadikan hujah kuat menurut ahli hadis di atas perkara demikian kerana pujian daripada Allah SWT untuk Baginda SAW di dalam al-Quran adalah ciri-ciri kelebihan yang ada padanya melalui firman-Nya: “Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) mempunyai pekerti tinggi dan mulia.” (Surah Al-Qalam ayat 4).

Apa yang jelas di sini, Baginda adalah manusia biasa yang dipilih untuk menyampaikan risalah Tuhan-Nya. Banyak bukti menerusi firman Allah SWT yang mengangkat martabat Nabi Muhammad SAW antaranya, “Katakanlah (wahai Muhammad)
bahawa aku adalah manusia seperti kamu yang menerima wahyu.” (Surah al-Kahfi ayat 110). “Katakanlah maha suci Tuhan bahawa aku adalah manusia biasa.” (Surah al-Isra’ ayat 93).

Baginda juga menghadapi kematian dan soalan Malaikat. Firman Allah SWT: “Dan ingatlah tatkala Allah SWT mengumpulkan semua rasul, lalu ditanyakan mengenai jawapan kaum mereka terhadap seruan Allah SWT. Rasul menjawab sesungguhnya Engkaulah Allah yang maha mengetahui.” (Surah al-Maidah ayat 109).

“Sesungguhnya engkau (Muhammad) akan mati seperti mereka juga).” (Surah az-Zumar ayat 30).

Ia menunjukkan bahawa Baginda SAW adalah ciptaan yang sama seperti manusia lain dari pandangan lahiriah dan mata kasar (maddah). Tetapi pada pandangan kenabian dan risalah, Baginda adalah cahaya penyuluh kepada hakikat dan kebenaran.

Firman Allah SWT: “Dan kamu (Muhammad) sebagai penyeru kepada agama Allah dengan izinnya dan sebagai cahaya yang menerangi.” (Surah al-Ahzab ayat 46).

Allah turut menyeru ahli kitab dengan sabdanya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu sekalian cahaya (Muhammad) dan kitab yang memberi penjelasan.” (Surah al-Maidah ayat 15).

Baginda juga digambarkan sebagai cahaya dan banyak riwayat menyebut mengenai cahaya yang terpancar pada wajah Baginda SAW ketika berhadapan dengan sahabat RA. Baginda pernah berdoa: ‘Ya Allah, jadikanlah lubuk hatiku, pandanganku, pendengaranku, tulang dan dagingku, rambut serta di kiri dan kananku sebagai cahaya bersinar’. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas).

Alangkah baiknya doa ini diamalkan umat Islam bagi menggantikan amalan syirik yang dilakukan sesetengah pihak hanya semata-mata untuk memperlihatkan wajah yang cantik berseri.

Tidak kurang pula yang membelanjakan ribuan ringgit setiap bulan untuk tujuan itu. Mereka perlu disedarkan bahawa amalan syirik adalah satu dosa besar.

Pembaziran masa dan wang ringgit adalah satu sifat buruk yang dilarang agama.

Dari kesan fizikal yang ada pada Baginda SAW amatlah berbeza dari manusia biasa yang mana sahabat pernah mengambil keberkatan dari wuduk Baginda SAW serta menjadikan peluh Baginda sebagai wangi-wangian.

Najis yang ditinggalkan oleh Baginda ditelan bumi sehingga tidak dapat dikesan oleh sahabat. Rambut yang dicukur Baginda SAW juga disimpan oleh sahabat untuk mendapat keberkatan serta penawar untuk menyembuhkan penyakit.

Sempena menyambut Maulidur Rasul pada tahun ini, marilah sama-sama kita hayati kehidupan Baginda SAW serta mencontohi dan mengamalkan segala apa yang ditinggalkan Baginda SAW.

Marilah kita mengambil jalan selamat supaya masyarakat tidak keliru dengan kenyataan yang dibuat mengenai diri Baginda SAW. Ulama yang berbeza pendapat boleh bertemu dan bermusyawarah sebelum apa-apa keputusan dibuat demi kesatuan masyarakat seluruhnya.

Firman Allah berksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku.”

Benarlah ungkapan Arab menyebut “Wahai Muhammad, kamu adalah manusia tetapi kamu bukan seperti manusia”.

Tips Motivasi: Menjadi Pakar

Menjadi pakar. Semua orang ingin menjadi pakar. Sebabnya menjadi seorang yang pakar dalam sesuatu bidang bermaksudnya kita akan dibayar lebih. Contohnya bayangkan kita adalah pakar dalam hartanah. Sudah tentu bila kita dipanggil untuk meberikan ceramah atau berkongsi ilmu kita kebiasaaannya akan dibayar tinggi.


Selain itu, menjadi pakar adalah wajib jika kita terlibat dalam sesuatu bidang. Tidak mungkin kita akan dipanggil berceramah jika kita sekadar orang biasa sahaja dalam bidang tersebut. Maksudnya cuba tanya pada diri adakah kita akan memanggil  Ustaz Azhar Idrus jika dirinya tidak mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang agama seharian.

Tentu tidak bukan! Kita memanggilnya kerana kita tahu beliau mampu memberi ilmu kerana sememangya beliau hebat dalam bidang itu.Begitu juga dengan doktor pakar. Apabila kita sakit, sudah tentu kita ingin dapatkan khidmat pakar. Kerana kita mahu  diberi rawatan terbaik. Kita sangup bayar lebih.

Persoalannya bagaimana untuk menjadi pakar? Adakah ianya sukar? Jawapannya terletak pada prinsip Zulu. Apakah itu prinsip Zulu? Alamak, kita tunggu post blog seterusnya.

Bahagia Itu Dari Hati Yang Mengenal Tuhan!

Takdir Allah bukan untuk di duga, tetapi dicipta. Bukankah Hilal Asyraf ada berkata, "Takdir itu hujung usaha!" Memang ada benarnya. Biarpun kita tidak boleh melawan takdir, bukan bermaksud takdir tidak boleh diubah. Yang dilihat bukan existence tetapi essence.
Pasrah dan redha akan sesuatu harus diolah dengan baik yakni dengan ikhlas bukan terpaksa. Bertunjangkan nilai Islam, "Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya" kita dapat mencungkil hikmah dan kebaikan di sebalik sesuatu peristiwa. Bergantung di mana kefahaman kita untuk meletakkan kasih-Nya terhadap hamba.
Seharusnya kita tahu, medium fikir mempunyai ruang yang terhad dalam menggapai sesuatu maksud dan erti segala rahsia yang melingkari kehidupan manusia. Walaupun kini keagungan ilmiah dan intelektual manusia dikatakan menjadi asas pembinaan tamadun yang kita gapai sekarang. Namun kita dapat lihat terdapat banyak manusia yang meluahkan rasa kekosongan hati dan kehausan rohani dalam kejayaan yang mereka kecapi.
Dengan ini terbukti kemewahan dan kekayaan tidak memberi apa-apa manfaat apa-apa pun. Selama ini minda dan persepsi kita telah diprogram dengan baik di mana kita beranggapan kebahagiaan itu adalah dengan harta benda, kasih sayang sesama manusia, pangkat, populariti dan pelbagai lagi. Hakikatnya tidak.
Kebahagiaan mahupun kesedihan wujud atas faktor dalaman bukan luaran. Iaitu dipengaruhi dengan bagaimana cara kita berfikir dan mengolah bentuk kebahagiaan yang kita inginkan. Lihat orang miskin, kebahagiaan bagi mereka adalah kekayaan. Buat mereka yang tinggal dalam keadaan sepi mengharapkan teman dan sahabat untuk rasa bahagia. Setiap golongan manusia mempunyai definisi kebahagiaan dan kesedihan yang berbeza-beza.

Dan ketahuilah dalam Islam mempunyai satu definisi kebahagiaan yang terjamin keberadaannya setiap waktu, tempat dan ketika. Definisi ini dilandasi dengan elemen keislaman yang jitu dan universal. Ajaran daripada sunnah, para sahabat dan tabi'in. Tidak mampu diteroka oleh akal, tetapi hanya mampu dikuasai oleh hati. Itulah kebahagiaan dicintai Allah dan RasulNya.
Mengapa dicintai bukan mencintai?
Cuba renungkan seketika, tatkala Allah membenci kita adakah kita mampu untuk beribadah kepada Allah? Tidak! Kerana segala amal dan ibadah yang kita lakukan kepada Dia adalah atas rahmat, kurnia dan cintaNya terhadap diri kita bukan atas kudrat kita sendiri.
Ada satu riwayat kisah yang menyatakan sedemikian, yakni ada seorang tabii'n terbangun pada waktu malam dan melihat hambanya khusyuk beribadah dan bermunajat kepada Allah. Beliau terdengar hambanya berkata, "Ya Allah, demi cintaMu padaku..." lalu beliau menegurnya, "Seharusnya engkau mengatakan demi cintaku kepadaMu..." Tetapi hamba itu menjawab kembali, "Jika Allah tidak mencintaiku, mengapa dia membangunkanku untuk beribadah kepadaNya dan membiarkan kau tidur". Subhanallah, hebatnya cinta Allah kepada hamba-hambaNya.
Apabila seseorang hamba dicintai Allah maka dia akan diberi kefahaman agama oleh Allah. Itu sudah cukup bagi mereka untuk mendepani kegilaan dunia ini yang sering menduga dan menguji keteguhan iman. Dalam hidup mereka susah senang tidak menjadi isu, tetapi redha Allah. Di situ lah kebahagiaan akan tercipta.
Takdir yang menimpa akan diolah dengan seni jiwa kehambaan. Yang tampak indah akan diawasi agar tidak hanyut dan leka. Yang tampak berbentuk musibah dihiasi dengan kesabaran. Kesabaran itu suatu kurniaan yang paling besar untuk seorang mukmin. Satu hadis qudsi berbunyi, "Timpakanlah kepada hambaKu musibah kerana aku ingin mendengar mereka merintih kepadaKu"
Wajarlah saat kita berkata, "Kebahagiaan itu bukan dicari tetapi diraih!" Sesungguhnya terdapat seribu satu kebahagiaan lagi di sisi kita yang kita tidak sedar. Mereka tersembunyi dalam sudut hikmah dan ibrah. Hanya dapat disingkap oleh tingkah laku manusia Ulul Albab dan orang-orang mukmin.
Dalam Al-Quran ada banyak ayat yang menyebut, "Bahawa orang-orang beriman itu tidaklah berasa takut dan bersedih hati." Kerana mereka insan yang mengenal Allah dan seluruh sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya. Sentiasa bersangka baik dengan Allah dan tidak menduga-duga takdirNya dengan suatu kesan dan hasil yang buruk.
Firman Allah yang bermaksud;
"Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah. Tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."
(Surah Yunus ayat 62)
Sesungguhnya Islam itu terlalu indah. Seharusnya kita masuki Islam secara menyeluruh bukan secara berjuzu'. Maka dengan itu kita akan mampu keluar daripada tipu daya nafsu dan syaitan. Bebas daripada segala harapan palsu dan berjaya menuju hakikat hidup yang menempatkan kebahagiaan sejati yakni redha ilahi.
Justeru, bermula saat ini, marilah sama-sama kita mengorak usaha untuk mencipta takdir masuk ke SyurgaNya. Bersungguh-sungguhlah kita dan jangan lupa untuk bertawakal kepadaNya. Moga dengan mendekati Allah SWT, akan ada kebahagiaan dan kedamaian untuk kita, di dunia jua di akhirat sana.

Sesungguhnya Pertolongan Allah Itu Dekat

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.. Selawat dan salam buat Nabi junjungan yang dimuliakan, Muhammad bin Abdullah serta ahli keluarga dan para sahabat Baginda SAW..
Sepersis perut saat berkeroncong, barulah empunya diri tersedar bahawasanya ia lapar, lalu 'signal' bunyi tadi dihantar ke otak untuk memahamkan keadaan tubuh untuk bertindak, kemudian kemahuan dinyatakan dengan jelas "saya mahu makan".

Demikianlah sedikit pelajaran yang boleh kita ambil dari penciptaan diri kita sendiri, yakni hati, perbuatan dan lisan ibarat '3 incredible function'. Ketiga-tiganya saling berkait dan saling bekerjasama. Banyak lagi perumpamaan yang boleh diolah, dan ianya bergantung kepada sejauh mana kesedaran, kefahaman dan kemahuan kita ke arah menghayati setiap ciptaan Allah.
DIA-lah yang menciptakan kamu dan menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati nurani bagi kamu. (Tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur."
(Surah al-Mulk ayat 23)
Adapun pelajaran ringkas di atas membawa kaitan kepada satu pelajaran yang berkesinambungan lebih jauh. Jauhnya penting untuk hati-hati yang ingin berubah dan mengubah.
Dimulakan penghijrahan Rasulullah dan para sahabat suatu ketika dahulu dari Mekah ke Madinah ditunjangi atas kesedaran akan fungsi hijrah itu sendiri, dimaknai dengan kefahaman yang mendalam, dan dijayakan dengan kemahuan yang kuat untuk merealisasikan hijrah bersejarah itu. Hasilnya, terpasaklah satu 'peribadi dunia islam' yang unggul di laman sfera ini.
Dalam proses dakwah dan tarbiyah Rasulullah SAW dan para sahabat ketikanya, bersaksikan masa yang dipilin bukanlah singkat, akal budi merentas cela cerca keadaan yang penuh kegawatan, lalu tibalah cahaya wahyu (Al-Quran) dari Loh Mahfuz  diturunkan kepada 'pembawa kebenaran' (Rasulullah) menjadi momentum kekuatan dan pengemudi tetap dalam mengharungi perubahan jahiliyah diri dan bangsa, membenam peribadi tercela untuk membina tamadun berjiwa baru dengan sinar Islam dan Iman.

Lantas, kesedaran mula membasahi hati melalui acuan Al-Quran dan Sunnah agar tetap basah membasahi hati-hati yang kering. Kefahaman dibina dengan hakikat iman, ilmu dan amal yang sejati untuk melentur minda hati yang ketandusan. Kemahuan pula dibangkitkan melalui pembentukan matlamat yang jernih serta azam dan pengorbanan hakiki untuk menyampaikan risalah kebenaran dan janji Tuhan kepada jiwa-jiwa yang mendahagakan.
Kesimpulannya, terhasillah peradaban figur yang unggul. Fiziknya tetap sama, tetapi peribadinya baharu. Antara barisan peribadi bertamadun tinggi itu adalah Umar Al-Faruk, Hamzah Asadullah, Khalid As-Saifullah dan ramai lagi. Inilah figur-figur yang mengungguli catatan silam usia zaman.
Lantaran itu, dalam episod zaman kita kini, hilang sudah kata mustahil untuk mendaki puncak 'pasak bumi' Everest, ia sudah pun ditawan. Maka, apakah kata mustahil untuk membina peribadi baru insani boleh di'delete'?
Bukankah sudah ada contoh yang diyakini? Sudah! berhenti mereka alasan. Palingkan jauh wahaniah dari hati. Mulakan dengan diri sendiri. Tarbiyah insan lain seiring dengan tarbiyah diri sendiri.
Jika hendak melihat umat generasi tidak ditukar ganti, maka aturlah gerak langkah dan teruskanlah. Kesedaran, kefahaman dan kemahuan yang kuat bertautkan teman sepanjang zaman yakni cahaya Al-Quran dan risalah Sunnah Nabi tidak akan 'mencair' dalam membekukan kejahiliyahan diri dan ummat.
InsyaAllah, semuanya dengan izin Allah Azza Wa Jalla. Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat. Allah berfirman yang bermaksud :-
"Allah akan memberi petunjuk kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka, dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenalkan-Nya kepada mereka. Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
(Surah Muhammad ayat 5-7)
Dan firmanNya lagi;
"Dan orang-orang yang mendapat petunjuk, Allah akan menambah petunjuk kepada mereka dan menganugerahi ketakwaan mereka"
(Surah Muhammad ayat 17)
Semoga kita sentiasa istiqamah berada di jalan dakwah dengan mereka yang membantu menegakkan agama Allah. InsyaAllah, di mana ada kemahuan ke arah kebaikan, maka selagi itu ada harapan untuk kita mendapatkannya. Yang pasti, letaklah Allah di sepanjang kehidupan kita, pasti pertolonganNya sentiasa menghiringi perjalanan usia kita. InsyaAllah.