Segala puji bagi Allah yang memberikan kekuatan untuk kita semua bekerja dan beribadah dihari ini, salawat dan salam ke atas Nabi Junjungan Muhammad SAW dan seluruh keluarga baginda serta para Sahabat radhiallahu'anhum sekalian
Nukilan ini terkhas untuk ku memperingati diri ku sendiri, yang dengan Nya ku abadikan semoga menjadi peringatan berkekalan ke atas diri ku sendiri, dan andai kata para Sahabat sekalian dapat manfaat dari nasihat ini, maka alhamdulillah aku ucapan, semoga ianya menjadi ilmu yang berguna untuk kita semua. Insya'Allah.
Amma ba'du.
Telah sampai kepada ku sebuah hadis, dipetik daripada Kitab Tanbihul Ghafilin, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Yang sangat saya khuatirkan atas kamu ialah syirik yang terkecil. Sahabat ra berkata: Ya Rasulullah SAW, apakah syirik yang kecil itu? Maka Dijawab baginda SAW: Riya'. Pada Hari Pembalasan kelak Allah berkata kepada mereka : Pergilah kamu kepada orang-orang yang dahulu kamu beramal kerana mereka didunia, lihatlah disana kalau-kalau kamu mendapat kebaikan (pahala) dari mereka."
Riya' ialah bila beramal tapi nak mintak puji. Beramal untuk dilihat orang. Penipu semua itu dan kepada siapa mereka menipu? Sesungguhnya tidak lain mereka-mereka itu cuba nak menipu Allah dengan amalan yang penuh dengan riya' itu.
Na'uzubillahi min zalik. Semoga kita semua dilindungi daripada yang sedemikian.
Abu Laits menceritakan dalam kitab nya,
" Saya telah diberitahu oleh orang yang dapat dipercaya dengan sanadnya dari Jabllah Alyahshubi berkata: Ketika kami bersama Abdul Malik bin Marwan dalam sesuatu peperangan, tiba-tiba kami bertemu dengan seseorang yang selalu bangun malam, bahkan tidak tidur malam kecuali sebentar, selama itu kami belum kenal padanya, kemudian kami ketahui bahawa ia sahabat Nabi SAW lalu ia bercerita kepada kami, bahawa ada seseorang bertanya," Ya Rasulullah SAW, dengan apakah dapat dicapai keselamatan kelak? Jawab Nabi SAW: Jangan menipu Allah. Orang bertanya: Bagaimana menipu Allah? Jawabnya: Iaitu mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah, tidak kerana Allah. Dan berhati-hatilah kamu dari riya' kerana itu syirik terhadap Allah, orang yang berbuat riya' pada hari kiamat akan dipanggil dimuka umum dengan empat nama: Hai Kafir! Hai Orang Khianat! Hai Penipu!Hai Orang yang Rugi!Hilang semua amalmu dan batal pahalamu, maka tidak ada bahagian bagimu kini, mintalah pahalamu dari orang yang kamu berbuat untuk mereka, wahai Penipu! Saya(Abu Laits) bertanya kepadanya(Sahabat RA) Demi Allah yang Tiada Tuhan Kecuali Dia, apakah benar engkau mendengar sendiri dari Rasulullah SAW? Jawabnya : Demi Allah Yang tiada Tuhan kecuali Dia, sungguh saya telah mendengar sendiri dari Rasulullah SAW kecuali jika saya keliru sedikit yang saya sengaja" Kemudian beliau membaca ayat:Makanya, siapa yang ingin mendapat pahala amalnya di akhirat maka harus beramal dengan ikhlas kerana Allah, tanpa ada riya' kemudian jangan dikenang-kenang supaya tidak rosak amalan itu disebabkan ujub... sebab menjaga taat lebih berat daripada mengerjakannya.
Surah An-Nisaa : 142"Sesungguhnya orang munafik itu akan menipu Allah padahal Allah telah membalas tipudaya mereka"
Ketahuilah saudaraku, yang pertama sekali yang harus difahami akan keberadaan kita disini hari ini, disaat ini, membaca akan nukilan ini, adalah dengan izin Allah semata. Dengan Izin Nya peringatan yang amat penting untuk kemashlahatan ibadah yang tidak boleh tidak mesti diketahui dan diamalkan, semoga dengan yang demikian itu segala amalan kita tidak menjadi sia-sia lantaran jahilnya kita dengan bahaya yang satu ini, bahaya yang begitu halus menjadi senjata syaithan yang begitu ampuh mematahkan amal soleh seseorang hamba. Adalah suatu perkara yang amat baik, bila seorang hamba itu kembali bertaubat mengadap kepada Tuhannya. Dan adalah sesuatu yang terlebih baik bila seorang hamba itu siap melengkapkan dirinya dengan Ilmu yang bermanfaat yang akan menjaganya. Itulah tujuan dari nukilan ini untuk peringatan diri ini. Jangan biarkan amalan mu menjadi sia-sia, wahai hamba Allah yang bertaubat. Sayangilah dirimu, sebagaimana Kasih Nya Allah Yang menunjukkan kepada Mu serta memberikan inayah dan taufik untuk kamu berada dalam keadaan bertaubat kepada Nya. Kita hamba yang berdosa, sedaya upaya kita memohon keampunan kepada Allah. Namun janganlah, bila hati mu tenang dan damai lantaran penuhnya hati dengan Nur Ilahi, engkau lupa bahawa syaithan sentiasa mengintai untuk menjatuhkan mu. Sentiasalah berhati-hati dengan bisikan yang menipu daya. Tetapkan lah niat mu untuk berjalan di atas jalan yang lurus, menuju terus kepada Allah. Bersihkanlah hatimu daripada angan-angan yang tiada lain akan menjerumus amalan mu ke paritan yang sia-sia.
Surah Al-Israa : 18-19 [18]Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.[19]Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.
Ada pujangga mengatakan:
Siapa yang berbuat tuju tanpa tujuan, tidak berguna perbuatannya,
Siapa yang takut tapi tidak berhati-hati, maka tidak berguna takutnya itu,
Siapa yang mengharap pahala dan Syurga tanpa amal, maka tidak berguna harapannya itu,
Siapa yang beristighfar tanpa menyesal, maka tidak berguna istighfarnya itu,
Siapa yang beramal tanpa ikhlas, maka tidak akan berguna amalannya itu.
Abu Hurairah ra berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Akan keluar diakhir zaman suatu kaum (golongan) yang mencari dunia dengan menjual agama, memakai pakain bulu domba,lidah mereka lebih manis dari madu sedang hati mereka bagaikan serigala. Allah akan berfirman pada mereka : Apakah terhadap-Ku mereka bermain-main dan melawan, dengan Kebesaran-Ku Aku bersumpah akan menurunkan kepada mereka fitnah ujian sehingga seorang yang berakal tenang akan jadi bingung"
Na'uzubillahiminzalik.
Wahai Allah, Wahai Yang Membolak-balikkan hati, Tetapkanlah hati ku diatas jalan ketaatan kepada Mu.Amiin Ya Rabbal'alamiin.
Telah ditanyakan kepada hukuma dan cendikiawan, apakah tandanya seorang itu ikhlas? Makanya dijawab, Bila kamu sudah menanggalkan istirahat (tetap beribadah), dapat memberikan apa yang ada,(menginfakkan harta), tidak menginginkan kedudukan dan tidak mengharapkan pujian dan tiada terkesan padamu celaan, maka engkau ikhlas.
Nasihat Saidina Ali bin Abi Talib Karamallahu Wajhah: Tanda orang yang riya' itu empat : malas jika sendirian, tangkas/cergas bila dimata orang, menambah amalnya bila dipuji dan mengurangi amalnya bila dicaci.
Syaqiq bin Ibrahim menyebut : Benteng amal itu ada tiga :
1. Harus merasakan hidayah dan taufik itu datangnya dari Allah, untuk mematahkan rasa ujub.
2. Harus mengharap redha Allah untuk mematahkan hawa nafsu.
3. Harus mengharapkan pahala dari Allah untuk menghilangkan rasa tamak, rakus dan riya'dan benteng kepada benteng tersebut diatas, itulah ikhlas kepada Allah iaitu mengharapkan redha Allah semata agara amal tersebut diredhaiNya dan tidak disebabkan oleh hawa nafsu. sehingga terpengaruh dek pujian ataupun celaan orang.
Tiga kalimat pesanan orang-orang solehin:-
1. Siapa yang beramal untuk akhirat, maka Allah akan mencukupkan dunia nya.
2. Siapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki hubungan nya dengan sesama manusia.
3. Siapa yang memperbaiki hatinya, maka Allah akan memperbaiki zahirnya.
Maka carilah hati yang sejahtera, nescaya kau selamat.
Akhirkata pesanan Allah buat kita semua,
Firman Allah Azza Wa Jalla, Surah Al-Fajr :
[27](Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! -[28]“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! -[29]“Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia -[30]“Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! “