Kedatangan Ramadan untuk kesekian kalinya membawa risalah ketakwaan supaya hubungan manusia dengan Pencipta menjadi hampir dan dekat. Al-Quran menyatakan dengan jelas keperluan berpuasa seperti yang diamalkan oleh orang terdahulu dengan harapan jiwa muttaqeen terbina.
Membina jiwa muttaqeen adalah keperluan kerana ia menjadi ukuran terbaik Allah terhadap insan (inna aqramakum ‘indallah hi atqa qum (Al-Hujurat :13) – karamah insan terhubung dengan orang yang bertakwa).
Orang yang bertakwa mengalami perubahan ke jalan ihsan. Ihsan digambarkan Rasulullah SAW dalam hadisnya – dalam melakukan amal meskipun kita tidak melihat Allah tetapi yakin Allah melihat kita. Ramadan ialah satu madrasah yang mendidik manusia dengan agendanya yang lengkap. Ramadan tidak sekadar puasa iaitu mengekang lapar dan dahaga tetapi ia memberi pengalaman manusiawi mengawal hawa nafsu supaya wujud perasaan sabar yang tinggi dan kawalan diri yang terbaik.
Rasa lapar menginsafkan manusia makna kemiskinan dan nasib orang yang daif. Ia mendorong jiwa sadaqah yang tinggi supaya jiwa kemanusiaan yang tercetus daripadanya menghakis mereka yang bersifat bakhil dan haloba.
Agenda rohaniah seperti solat Tarawih membangun jiwa rukuk dan sujud. Ia mencetuskan jiwa kehambaan yang mendidik abid (ahli ibadah) mengenai makna kepatuhan, keakuran, ketaatan dan ketundukan terhadap perintah Allah SWT. Manusia selalu ingkar terhadap suruhan Allah, sering tidak taat akan kewajipan sebagai orang Islam, kerap tidak tunduk dengan hukum Allah dan selalu tidak akur hikmah daripada syariat Allah. Akibatnya jiwa ingkar ini jauh daripada takwa dan kefasadan terjadi.
Ikhlas melakukan siyam
Keikhlasan melakukan siyam harus dilihat dalam konteks rohaniah dan jasmaniah yang membimbing perubahan diri terhadap amal. Tentu ada sebab siyam itu diwajibkan Allah kepada manusia dan tentu ada natijah akhir yang diharapkan terjadi. Binaan jiwa muttaqeen yang memperlihatkan kehambaan insan terhadap Penciptanya menjadi ukuran terbaik terhadap amalan siyam.
Kalau siyam hanya setakat berlapar dan dahaga saja tidak memadai. Yang menjadi fokus utama proses tazqiah an nafs atau penyucian diri ini ialah hati. Hati manusia sering dihinggap penyakit. Manusia menjadi tamak kerana harta dan kekayaan. Manusia membangun nafsu amarah atau nafsu haiwani kerana angkuh dan sombong. Manusia sering memuji diri dan suka dipuji kerana rasa riak dan takbur. Lalu nafsul mutmainnah atau nafsu manusiawi tidak kelihatan. Manusia melakukan rasuah dan salahguna amanah kerana jiwa takwanya kosong. Faktor duniawi dilihat sebagai segala-galanya. Faktor ukhrawi tidak dirasakan sama sekali, lalu kemungkaran terjadi.
Penyakit hati perlu diubati melalui proses tarbiah atau pendidikan. Arkan al Islam atau Rukun Islam menjadikan siyam salah satu yang penting dilalui dengan rasa insaf oleh manusia. Seperti juga solat, ia terkandung roh yang menghidupkan hati-hati yang mati dan keji supaya jiwa rukuk dan sujud membawa kembali manusia kepada fitrah dirinya.
Inilah asas penting apabila kita melakukan siyam supaya jiwa perjuangan terhadap hawa nafsu yang memurnikan kembali peranan hati demi memiliki rasa tunduk, akur dan taat terhadap suruhan dan larangan Allah SWT. Tanpa asas ini, jiwa muttaqeen tidak akan lahir. Sekolah Ramadan yang dilalui, siyam yang dijalani adalah agenda terbaik untuk membentuk dan membangun hati.
Dekatkan diri kepada al-Quran
Aspek lain dalam melalui Ramadan ialah kedekatan kita pada al-Quran yang terkandung hikmah dan petunjuk. Tanpa hikmah, manusia kehilangan arah dalam memahami apa yang dicipta dan dikurniakan kepada manusia dan hikmah di sebaliknya. Tanpa petunjuk, manusia dikatakan berpengetahuan dan berilmu boleh hilang kebijaksanaan untuk mencari arah tuju kehidupan yang sebenar.
Al-Quran sumber ilmu menjadikan manusia tahu sesuatu yang nyata dan kaitannya dengan yang ghaib, serta menjadi penyuluh mengatasi manusia daripada kesesatan. Fokus pemahaman al-Quran tidak saja sifatnya tekstual tetapi juga kontekstual iaitu hubungan al-Quran dengan alam dan persekitaran, peristiwa yang terjadi, cabaran yang ada supaya ia dijadikan pedoman dan sumber teladan.
Lailatulqadar adalah puncak pengharapan abid atau ahli ibadah terhadap natijah akhir perjalanan rohaniah supaya ibadah diterima, keampunan dianugerah dan abid menjadi insan fitrah semula dan sifat diri berubah dan kembali sebagai penyumbang kepada kesejahteraan diri dan orang lain.
Kalau ini terjadi, bayangkan kehebatan warga umat yang sifatnya sabar, penuh kasih sayang, bukan dendam kesumat, saling memaafkan, memiliki keupayaan merenung ke dalam diri, menghakis sifat hasad dan ego yang dilalui sehingga sesama warga umat dijadikan musuh, musuh sebenar sebagai sahabat dan akhirnya memimpin umat ke arah perpecahan dan kehancuran.
Penulis ialah Profesor Pendidikan di UIAM
Rabu, 24 Julai 2013
Dosa yg lebih besar drpd berzina
Pada suatu senja yang lenggang, terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-huyung. Pakaiannya yang serba hitam menandakan bahawa dia berada dalam keadaan yang berdukacita. Tudungnya hampir menutup seluruh wajahnya. Tanpa hias muka atau perhiasan menghiasi tubuhnya. Kulit yang bersih, badan yang ramping dan rauk wajahnya yang ayu, tidak dapat menghapuskan kesan kepedihan yang dialaminya. Dia melangkah terseret-seret mendekati kediaman rumah Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil mengucapkan salam. Maka terdengarlah ucapan dari dalam “Silakan masuk”.
Perempuan cantik itu lalu berjalan masuk sambil kepalanya terus tunduk. Air matanya berderai ketika mula berkata, “Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya.”
“Apakah dosamu wahai wanita?” tanya Nabi Musa a.s. terkejut.
“Saya takut mengatakannya.” jawab wanita cantik itu. “Katakanlah jangan ragu-ragu!” desak Nabi Musa.
Maka perempuan itupun berkata, “Saya… telah berzina."
Kepala Nabi Musa terangkat, hatinya tersentak. Perempuan itu meneruskan, “Dari perzinaan itu saya telah hamil. Setelah anak itu lahir, terus saya cekik lehernya sampai mati,” ucap wanita itu lalu menangis teresak-esak. Nabi Musa berapi-api matanya. Dengan muka berang ia mengherdik, “Perempuan celaka, pergi kamu dari sini! Agar bala dari Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!” teriak Nabi Musa sambil memalingkan mata kerana jijik.
Perempuan berwajah ayu dengan hati bagaikan kaca membentur batu, hancur luluh segera bangkit dan melangkah keluar. Ratap tangisnya amat memilukan. Dia tidak tahu harus kemana lagi hendak mengadu. Dia tidak tahu mahu dibawa kemana lagi kaki-kakinya. Bila seorang Nabi sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang olehnya betapa besar dosanya, betapa jahat perbuatannya. Dia tidak tahu bahawa sepeninggalnya, Malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa.
Jibril lalu bertanya, “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripadanya?” Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita pezina dan pembunuh itu?” Maka Nabi Musa dengan penuh rasa ingin tahu bertanya kepada Jibril. “Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?”
“Ada!” jawab Jibril dengan tegas. “Dosa apakah itu?” tanya Musa a.s. “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar dari pada seribu kali berzina.”
Mendengar penjelasan itu, Nabi Musa kemudian memanggil wanita tadi untuk berjumpanya kembali. Nabi Musa memohonkan ampun kepada Allah untuk perempuan tersebut. Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa menyesal adalah sama seperti mengakui bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya. Seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan tidak mempunyai hak untuk mengatur dan memerintah hamba-Nya.
Sedangkan orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan sungguh-sungguh memberikan maksud yang dia masih mempunyai iman di dadanya dan yakin bahawa Allah itu berhak keatas dirinya. Itulah sebabnya Tuhan pasti mahu menerima kedatangannya.
Malah dalam satu hadis Nabi s.a.w. berkata
“sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka ia kafir terang-terangan”
(H.R. Atthabarani)
Dalam hadis Nabi s.a.w. disebutkan:
“Orang yang meninggalkan solat lebih besar dosanya dibanding dengan orang yang membakar 70 buah Al-Quran, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya di dalam Ka’bah. Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa orang yang meninggalkan solat sehingga terlewat waktu, kemudian ia mengqadanya, maka ia akan diseksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah lapan puluh tahun. Satu tahun terdiri dari 360 hari, sedangkan satu hari di akhirat perbandingannya adalah seribu tahun di dunia.”
Sujudlah kepadaNya tanpa alasan
Al-Ghazzali berkata: “Jika ada orang berkata, bahawa ia telah mencapai satu tingkat disisi Allah s.w.t. hingga ia tidak wajib sembahyang, maka tidak ragu dibunuh orang itu, dan membunuh orang yang seperti itu lebih afdal dari pada membunuh 100 orang kafir.”
Ahmad bin Hanbal berkata: “Tidak sah berkahwin dengan wanita yang meniggalkan sembahyang, tetapi dalam mazhab kami, berkahwin dengan wanita kitabiyah dzimmiyah lebih baik daripada berkahwin dengan wanita yang meniggalkan sembahyang.”
Demikianlah kisah Nabi Musa dan wanita penzina, mudah-mudahan menjadi pengajaran kepada kita dan timbul niat untuk melaksanakan kewajiban solat dengan istiqomah.
Langgan:
Catatan (Atom)