Sabtu, 7 Julai 2012

MENYINGKAP RAHSIA DOA

“Doa itu adalah otak ibadah” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari). Doa bukanlah sekadar ibadah sahaja, malah ia juga menjadi otak mahupun inti ibadah. Imam Syaukani di dalam bukunya, kitab Tuhfadutz Dzakkirin mengatakan otak adalah bahagian yang paling penting dalam tubuh manusia. Maka, setiap amalan tanpa doa adalah seperti pokok tanpa buahnya. Hal ini adalah kerana doa adalah inti bagi setiap amal ibadah.

Doa dapat didefinisikan sebagai permintaan atau permohonan daripada pihak yang berkedudukan rendah kepada pihak yang berkedudukan lebih tinggi. Pihak yang berkedudukan rendah yang dimaksudkan disini ialah manusia dan pihak yang berkedudukan tinggi itu adalah Allah yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna.

Doa juga adalah manifestasi tanda kelemahan hamba yang memerlukan pertolongan dan bantuan Allah dalam menghadapi cabaran kehidupan. Hal ini turut diperjelasakan dalam surah al-Ghafir ayat 60 yang bermaksud: Dan Tuhanmu berfirman, “Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina”

Dewasa ini, ramai yang menganggap doa itu perkara remeh. Hakikatnya, doa itu mampu mengubah sesuatu yang tidak mungkin kepada mungkin terjadi. Berdoa kepada Allah bererti meminta sesuatu daripada-Nya kerana Dialah pemilik segala-galanya. Allah Maha Berkuasa mengabulkan doa sesiapa sahaja yang memohon daripada-Nya, di mana sahaja dan pada bila-bila masa dengan syarat Allah berkenan mengabulkan sesuatu doa.

Antara keistimewaan doa ialah doa adalah senjata yang ampuh ataupun mujarab bagi orang yang beriman. Dengan doa, Nabi Nuh terselamat dan kaumnya yang kafir tenggelam dalam taufan. Dengan doa jugalah Allah mengabulkan permintaan Hannah binti Faqud, ibu Maryam yang mahukan anak yang di kandung menjadi anak solehah. Malah Maryam menjadi contoh wanita terbaik pada zamannya.Ini turut di perkuatkan dengan hadis Rasullah, “Doa adalah senjata mukmin, tiang agama dan cahaya langit dan bumi.” ( Hadis riwayat al-Hakim dan al-Mustadrak)

Sejarah mencatatkan kejadian-kejadian luar biasa yang berlaku dengan doa. Hamba-hamba Allah yang tersepit oleh kesusahan hidup mampu melepaskan diri daripada kesukaran dan bahaya selepas mereka berdoa dan memohon jalan keluar daripada Allah. Semuanya menjadi mungkin dengan rahmat Allah yang dapat kita peroleh dengan senjata pusaka iaitu doa.

Melalui kisah Nabi Daud, Allah memberikan pertolongan setelah Nabi Daud berdoa semasa berperang melawan tentera raja Jalut. Allah menurunkan pasukan malaikat hingga tentera Nabi Daud berjaya menewaskan tentera raja Jalut yang jauh lebih ramai.

Ditambah pula apabila doa itu diucapkan oleh orang tertentu yang menjadikan doa itu cepat termakbul. Doa seperti itu terus menembus langit dan sampai ke Arasy yang bererti Allah akan segera mengabulkan permintaannya. Antara doa yang dimakbulkan Allah ialah doa para nabi dan orang yang soleh, doa orang tua untuk anaknya dan doa orang yang teraniaya. Hal ini turut di perjelaskan lagi dengan sabda Rasullah yang bermaksud, “Tiga doa yang pasti dimakbulkan Allah iaitu doa seorang bapa (dan ibu), doa orang yang bermusafir dan doa orang yang dizalaimi”. (Riwayat Abu Daud).

Berdoa bukanlah sekadar penyudah kepada solat tetapi doa itu adalah ibadah. Ini bererti doa menjadi ibadah apabila kita melakukannya semata-mata kerana memenuhi perintah Allah. Sebaliknya, apabila kita berdoa bukan kerana melaksanakan perintah Allah, doa itu bukanlah ibadah. Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad menegaskan, berdoa itu nilainya sama dengan ibadah. Nu’man bin Basyir melaporkan, nabi bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya doa itu adalah ibadah.”(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani)

Daripada keterangan di atas, kedudukan doa adalah sangat tinggi disisi Allah. Sewaktu kita berdoa, kita menghadapkan hati yang tulus, rendah diri dan tawaduk kepada Allah mengharapkan sesuatu daripada-Nya. Kita mengagungkan zat Allah dengan ikhlas. Sesungguhnya, tiada Tuhan yang Maha Tinggi, Maha Agung dan Maha Sempurna selain Allah. Seperti yang di jelaskan dalam surah al-Fatihah ayat 5 yang bermaksud, “Hanya kepada-Mu kami menyembah dan hanya daripada-Mu kami memohon pertolongan.

Oleh itu, tidak ada yang lebih mulia kedudukannya di sisi Allah selain doa. Abu Hurairah ada menyebut, Nabi Muhammad berkata, “Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah daripada doa.” (Riwaya Ibnu al-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Doa juga berfungsi sebagai penolak takdir sesuai dengan izin Allah. Melalui doa hamba-Nya, Allah memberi kebahagiaan dan keselamatan hamba-Nya di dunia mahupun di akhirat. Seperti sabda Rasullah yang bermaksud, “Tidak ada yang dapat menolak takdir kecuali dengan doa dan tidak ada orang yang dapat memanjangkan umur kecuali bagi melakukan kebaikan.” (Hadis Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi).

Hadis di atas menerangkan tentang bagaimana Allah boleh merubah ketentuannya melalui doa hamba-Nya. Akan tetapi ketentuan Allah terbahagi kepada dua iaitu, takdir maa fil lauhil mahfuzh yang bererti takdir yang menjadi ketentuan Allah yang tertulis dalam daftar takdir di lohmahfuz dan takdir maa fil ilmillah yang bererti ketentuan yang ada pada ilmu Allah yang qadim. Allah dapat memadamkan ataupun menetapkan sesuatu yang termasuk dalam kategori maa fil ilmillah berada di lohmahfuz. Hal ini selari dengan firman Allah dalam surah ar-Ra’d ayat 39 yang bermaksud, “Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki. Dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab (Lohmahfuzh).

Justeru itu, ringan-ringkanlah diri kita untuk berdoa kepada-Nya. Banyak faedah daripada berdoa. Antaranya ialah Allah meningkatkan darjat hamba-Nya yang berdoa. Selain itu, doa turut menjamin keselamatan seseorang apabila ada keburukan yang bakal menimpanya.

Sebagai hamba Allah yang patuh akan perintah-Nya, kita seharusnya sentiasa memanjatkan doa pada Yang Esa kerana doa itu adalah zikir dan dengan berzikir, hati akan menjadi tenang dan tenteram.

Renungan

Bukan semua yang kita mahukan akan kita dapat.

Dalam dunia ni, bukan semua benda yang kita hajatkan kita akan capai. Banyak perkara, dalam pelbagai situasi, kita tidak mendapat apa yang kita hajati. Walaupun kadangkala telah berusaha bersungguh-sungguh, walaupun kadangkala telah bermati-matian memikirkan strategi. Tetap tidak berjaya kita mendapatkannya.
Hakikatnya itulah lumrah.
Persoalannya, bagaimanakah kita merasionalkan diri kita dalam menerimanya?

Kita tidak tahu

Pertama sekali, kita perlu melihat kembali betapa hakikatnya kita tidak mengetahui apakah pilihan yang baik atau pilihan yang buruk pada kita.
Tetapi Allah mengetahui.
“Telah diwajibkan kepada kamu berperang, padahal (perang)itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah itu Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui apa-apa” Surah Al-Baqarah 216.
Boleh jadi apa yang kita hajatkan, apa yang kita mahu, bakal memberikan keburukan kepada kita. Apabila tidak mendapat apa yang kita hajatkan, boleh jadi hakikatnya kita sedang diselamatkan oleh Allah SWT atas keburukan yang bakal kita hadapi.
Perkara ini tersimpan di dalam HIKMAH.
Dan hikmah tidak semestinya kita ketahui pada masa ianya terjadi.
“Allah itu Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui apa-apa”

Belum bersedia

Ada kemungkinan juga, kita belum bersedia atas apa yang kita hajati itu. Kemungkinan apa yang kita hajati itu datangnya ia bersama tanggungjawab yang besar. Contohnya, hajat hendak berkahwin, tetapi Allah tidak izinkan pada waktu yang kita hajati. Ada kemungkinan Allah tidak izin itu kerana kita belum bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.
Begitulah juga dengan kejayaan-kejayaan dalam kehidupan. Biasanya, kejayaan akan datang bersama tanggungjawab.
Kemungkinan besar, Allah tidak mengizinkan kita mencapai kejayaan itu, kerana diri kita masih tidak mampu memikul tanggungjawab yang hadir bersamanya.

Dosa

Kadangkala, hajat kita tidak tercapai adalah kerana kita ada perkara yang belum selesai dengan Allah SWT. Maka Allah tidak memenuhi hajat kita kerananya.
Sebab yang hendak memberikan segala perkara terjadi adalah Allah SWT. Dan Dia berkuasa untuk tidak membenarkannya.

Berusaha untuk positif dengan Allah

Allah Maha Mengetahui. Dia tahu kita siapa. Dia yang paling kenal kita. Dia yang paling mencintai kita. Justeru sekiranya ada perkara-perkara yang kita rasakan buruk menimpa kita, sepatutnya kita perlu kembali memuhasabah diri.
Mengapakah kita tidak dapat apa yang kita hajati? Jangan sekadar memandang secara teknikal. Ada kemungkinan lain selain hal teknikal yang menyebabkan hajat kita itu tidak tercapai, usaha kita itu tidak berhasil.
Dan sepatutnya, perkara ini kita patut pandang pada sudut kasih sayang Allah.
Ada kemungkinan Allah hendak menyelamatkan kita dari sesuatu yang kita tidak tahu, sebab itu Dia menghalang dari hajat kita tercapai. Ada kemungkinan kita masih belum mampu, lantas Allah tahan dahulu kita dari mendapat apa yang kita hajati, agar kita tidak terkapai-kapai di kemudian hari. Ada kemungkinan Allah hendak mendidik kita, agar lebih dekat denganNya, sebab itu kerana dosa kita Dia tidak membenarkan kita mendapat apa yang kita hajati.

Allah itu Maha Penyayang.

Jika kita tidak mendapat apa yang kita hajati pun, itu adalah sebahagian dari kasih sayangNya.
“Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadap-Ku…”(Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Penutup: Memang dalam hidup, bukan semua benda kita mahukan akan kita dapat

Dan sentiasalah memahami bahawa di dalam kehidupan, bukan semua perkara yang kita hajati akan berjaya kita capai.

Jangan kecewa apabila tidak mendapat apa yang dihajatkan. Pandang dari sudut yang positif. Fikir jauh ke hadapan. Jika kita manusia yang punya penuh rasa sifat kebergantungan pada Allah SWT, maka kita akan bersyukur dan berlapang dada, bersangka baik dengan setiap ujian dan cubaan, mudah menghadapi kesukaran dan tentangan hidup kerana di hati kita telah tertanam bahawa semua yang terjadi melingkari hidup kita akan berjalan dan bergulir dengan aturan-aturan-Nya sesuai dengan kehendak-Nya kepada kita.
Sekiranya kita mampu memahami perkara ini, lumrah ini, hakikat ini, insyaAllah jiwa itu akan tidak terbeban. Hal ini kerana, kita sentiasa positif.
Positif, sentiasa membuahkan positif yang lain, InsyaAllah semuanya akan dirasakan Indah, Tenang, Tenteram dan Menyenangkan.
Semoga ketenangan akan dapat kita kecapi.
Mudah-mudahan bermanfaat

Jumaat, 6 Julai 2012

Kata Mutiara Pengorbanan

Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain.

Sesungguhnya pengorbanan itu bermaksud, usaha seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada penciptanya melalui amal perbuatannya yang ikhlas.

Jujur adalah sebuah pengorbanan yang tidak hanya membuat diri kita terhormat di mata orang lain tetapi lebih utama lagi, terhormat di sisi Allah.

Pejuang sejati boleh dilihat dari seberapa banyak pengorbanan yang diberikan.

Orang yang tidak mahu berkorban adalah orang yang menunjukkan kehinaan dirinya.

Ciri orang yang beriman adalah senantiasa rela berkorban untuk kepentingan umat.

Kesungguhan, kegigihan, keikhlasan dan pengorbanan adalah pilar-pilar cinta sejati.

Tunjukkan rasa cinta kita dengan berkorban kerana tidak ada cinta tanpa pengorbanan.

Allah membenci orang yang bersifat kikir kerana kekikiran itu akan menimbulkan kezaliman dan kedengkian.

Semakin orang itu mencintai apa yang dimilikinya semakin sulitlah dia berkorban untuk orang lain.

Jadilah manusia yang senantiasa mahu berkorban untuk sesama kerana itu menunjukkan kemuliaan akhlak.

Allah sangat mencintai orang-orang yang selalu ingin membahagiakan orang lain dengan apa yang dimilikinya.

Semakin seseorang itu banyak berkorban untuk orang lain, semakin mulialah dia di sisi Allah dan manusia.

Allah mencintai orang yang berkorban dengan harta dan jiwa untuk menegakkan kebenaran.

Allah sangat mencintai orang-orang yang berkorban untuk mendapatkan keredhaanNya, kerana itu menunjukkan cinta sejati pada Allah.

SOLAT SELEPAS HAID : PERKARA YG DIPANDANG RINGAN

Pengetahuan Islam kepada sesiapa yang bernama wanita ISLAM!!!

Kebanyakkan perempuan/wanita/ muslimah (wanita Islam) tak berapa perasan ATAU lebih malang lagi jika memang tak tahu menahu akan perkara ini... Ilmu Fekah, khususnya BAB HAID yang berkaitan dengan diri wanita itu sendiri amat kurang dikuasai atau difahami secara menyeluruh oleh kebanyakkan wanita Islam...kenapa hal ini boleh terjadi?? Amat susah untuk mencari seorang guru/ustazah/ ...yang betul-betul pakar dalam bab 'Orang-orang Perempuan ini' kecuali terpaksa@mesti dirujuk kepada lelaki/ustaz- ustaz yang bernama LELAKI jugak...(saya rasa ramai yang bersetuju dengan pandangan saya )

Contohnya yang paling simple ; bila ditanya kepada kebanyakkan wanita Islam ; "adakah wajib bagi seorang wanita Islam menqhada'kan solat mereka yang ditinggalkan ketika haid?" pastinya kita akan mendengar jawapan daripada kebanyakkan mereka mengatakan: "alaa...itu soalan mudah jee..bila 'datang period' maka solat tuu tak perlu qadha, yang perlu qadha hanya puasa jee..itulah yang kami belajar sejak mula-mula 'bergelar wanita' dulu"

Jika dibuat pantauan nescaya jawapan seperti di ataslah yang akan kita jumpa... Sebenarnya TAK SEBEGITU MUDAH bagi seorang muslimah nak meninggalkan solat mereka walaupun dirinya didatangi haid!!! sekalipun. Hal ini boleh dirujuk di dalam kitab Ihya' Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang mashur.

Kitab yang padanya ada ilmu yang berkaitan Tasauf dan padanya juga perbahasan Fekah yang luas, inilah bukti kehebatan ulama' terdahulu..

Dalam BAB TIGA :
" Fi adab Mua'sharah Wama Yujzi Fi Dawamun Nikah..." perkara YANG KETUJUH disebut dengan jelas dalam kitab tersebut : PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN HAID: Penjelasan (bayan) terhadap solat yang perlu diqadha bagi perempuan yang didatangi haid :

1. Jika perempuan dalam keadaan haid mendapati darah haid itu berhenti (dengan melihatnya) sebelum masuknya waktu Maghrib, kira-kira sempat dia solat asar sebanyak satu rakaat, maka baginya wajib qadha solat zohor dan asar.
2. Jika perempuan mendapati darah haidnya kering sebelum masuknya waktu subuh, kira-kira sempat baginya solat Isya' sebanyak satu rakaat, maka wajib baginya qadha solat maghrib dan Isya'. " Dan hal ini (qadha solat yang ditinggalkan semasa haid) adalah sekurang-kurang perkara yang wajib diketahui oleh setiap wanita Islam" (Imam Al-Ghazali)
HURAIAN MASALAH :
1. Kenapa perlu diqadha solat Asar dan Zohor?
- Kerana perempuan itu hanya menyedari keringnya haid masih dalam waktu Asar, maka baginya wajib solat asar (selepas mandi hadas)
2. Kenapa pula solat Zohor juga perlu diqadha sama?
- Kerana di dalam hukum menjama' (menghimpun solat bagi orang musafir) solat Asar boleh dijama' dan diqosarkan bersama solat Zohor.
- Kerana kecuaian wanita itu sendiri (dari melihat haidnya kering atau tidak), boleh jadi haidnya sudah kering dalam waktu Zohor lagi, langkah Ihtiyat ( menjaga hukum) maka perempuan itu juga perlu mengqhada solat Zohor.
3. Dalam perkara solat subuh pun sama : -perempuan itu hanya menyedari darah haidnya kering, sebelum masuk waktu subuh, kira-kira sempat solat Isyak satu rakaat (selepas mandi hadas) maka wajib baginya solat Isya' sebab darahnya kering masih dalam waktu Isya'.
-Solat Isya' juga boleh dijama' (bagi musafir) dengan solat Maghrib, maka baginya juga perlu diqadha solat maghrib.
-Di atas kecuainnya (tidak betul-betul melihat darahnya kering atau tidak dalam setiap waktu solat) maka boleh jadi darahnya sudah kering dalam waktu maghrib lagi (sebab proses keringnya darah itu berlaku secara perlahan-lahan, mungkin perempuan itu hanya menyedarinya dalam waktu subuh, hakikatnya proses pengeringan itu sudah lama berlaku)
-maka langkah ihtiyat (menjaga hukum) maka adalah bagi perempuan itu perlu di qadha juga solat maghribnya.

Sila rujuk : Kitab Ihya' Ulumuddin (Jilid ke 2) cetakan Darul Nahwan Nil / Darul Haram Lil Turath, Kaherah.
Diharapkan tulisan ini memberi kesedaran kepada seluruh yang bergelar Muslimah untuk lebih mendalami diri mereka dengan ilmu 'Fiqhul Nisa' ini yang berkaitan dengan diri mereka sendiri!!!

TOLONG SEBARKAN KEPADA ORANG LAIN DEMI SAHAM AKHIRAT ANDA !!!

Khamis, 5 Julai 2012

Memaafkan Untuk Ke Syurga

Setiap hari di bumi Allah, kita berhubungan dengan makhluk lain ciptaan Allah terutamanya sesama manusia. Jika kita seorang ibu yang bekerjaya, selalunya kita akan berhadapan dengan suami, anak-anak, rakan sekerja dan ramai lagi. Pastinya dalam hubungan itu, kadangkala hati kita disakiti atau muncul perasaan benci kerana berlaku salah faham. Kadangkala amat sukar untuk kita memaafkan. Apatah lagi melupakan sesuatu yang menyakitkan hati dan perasaan.

Kita selalu memberi alasan bahawa iman kita bukanlah sehebat iman seorang Nabi. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW duduk bersama sahabat di dalam masjid lalu baginda bersabda dengan ertinya: "Sekarang ini seorang lelaki penghuni syurga akan muncul dari sebelah pintu itu." Maka muncullah seorang lelaki yang baru sahaja selesai mengambil wuduk. Janggutnya masih basah dan menitiskan air sisa wuduk. Kemudian dia solat sunat dua rakaat dan setelah itu dia duduk.

Pada hari kedua Rasulullah SAW berkata lagi dengan ucapan yang serupa dan begitulah juga pada hari ketiga. Ibnu Umar RA mengekori lelaki tersebut dan memohon agar dapat tidur di rumahnya. Dia amat hairan kerana lelaki tersebut biasa-biasa sahaja.  Seperti orang lain juga yang mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan lain-lain. Lalu Ibnu Umar RA bertanya kepadanya, "Wahai saudara! Demi Allah sebenarnya aku ingin mengetahui cara amalanmu kerana aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda sebanyak tiga kali bahawa kamu termasuk salah seorang penghuni syurga. Amalan apakah yang kamu lakukan sehingga kamu boleh meraih penghargaan yang hebat daripada Rasulullah SAW? Setiap malam aku memerhatikan amalanmu, tetapi solat sunatmu tidaklah terlalu banyak, dan begitu juga dengan amalan lain yang tiada beza dengan kebanyakan orang." Lelaki itu menjawab, "Demi Allah, tiada tuhan selain Dia! Sebenarnya amalanku biasa-biasa sahaja. Tiada perkara yang perlu dilebihkan dari kebanyakan orang. Namun apa yang terpenting, iaitu ketika aku ingin tidur pada waktu malam, aku tidak pernah menyimpan rasa dendam, tipu daya, hasad dengki dan iri hati kepada mana-mana orang Muslim. Hanya itulah yang aku lakukan sepanjang hidupku." Maha Suci Allah, sungguh hebat darjat seorang Muslim yang suci hatinya dari perasaan dendam, hasad dengki dan iri hati terhadap sesama manusia. Mereka tenang di dunia dan juga bahagia di akhirat.